Kelihatan orang awam mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka sebelum memasuki kedai ketika tinjauan di Jalan Besar, Klang pada 10 Okt 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Covid-19: Hulu Langat rekod kes harian tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 5 NOV: Hulu Langat menjadi daerah tertinggi merekodkan kes baharu Covid-19 hari ini dengan 54 kes penularan tempatan, menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS).

Data tersebut menunjukkan 49 kes dilaporkan di mukim Kajang dengan 10 daripadanya dikesan hasil saringan di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Di mukim sama, 17 kes membabitkan saringan pekerja, 21 saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dan satu kes saringan bergejala.

“Lima kes dicatatkan di mukim Ampang dengan kesemuanya melalui saringan kontak rapat kes positif wabak,” menurut BGNS.

Sementara itu, Petaling merekodkan 44 kes, Klang (36), Sepang (18), Gombak (14), Kuala Langat (10), Hulu Selangor (satu) dan kes import (tiga).

Setakat ini, enam zon di Selangor masih berada dalam zon merah melibatkan Petaling, Hulu Langat, Klang, Sepang, Gombak dan Kuala Langat manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berstatus kuning.

Hari ini, jangkitan Covid-19 di negeri itu kekal tiga angka apabila mencatat 180 kes dan satu kluster dikesan iaitu kluster Tamar di Petaling.

Keseluruhannya, Selangor mengumpul sebanyak 5,590 kes Covid-19 dan 1,443 daripadanya aktif manakala jumlah kematian meningkat kepada 27 orang.

Seramai 88 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 4,416.


Pengarang :