Seorang pekerja kesihatan memakai sut pelindungan diri membawa sampel ujian calitan berjalan melalui pasar tradisional di Jakarta, Indonesia pada 25 Jun 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Indonesia catat 5,534 kes baharu, tertinggi sejak Mac

JAKARTA, 25 NOV: Indonesia mencatatkan 5,534 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Mac, menjadikan kes keseluruhan kini sebanyak 511,836 kes.

Bagaimanapun sebanyak 429,807 pesakit yang disahkan positif virus itu, dilaporkan sembuh daripada jangkitan berkenaan.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 65,438 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus itu.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 114 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 16,225 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 130,461 kes, dengan tambahan 1,273 kes baharu, manakala provinsi Jawa Timur merekodkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 4,249 orang.

-BERNAMA


Pengarang :