EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian (dua kanan) menyerahkan cek cura kepada wakil pengusaha inap desa Selangor (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Khas Pelancongan di Bilik Mesyuarat MTES SUK, Shah Alam pada 19 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Covid-19: Insentif khas RM1,000 kepada penggiat pelancongan terjejas

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri menyalur insentif khas RM1,000 secara sekali bayar kepada setiap 553 penggiat industri pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.

EXCO pelancongan berkata bantuan kepada 486 pemandu pelancong berlesen, 16 pengusaha inap desa dan 51 Hos Komuniti Selangor akan dimasukkan ke akaun bank masing-masing sebelum atau pada 30 November.

“Mereka mendapat manfaat menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM553,000 dan insentif ini diharap dapat meringankan beban kerugian susulan kemerosotan kemasukan pelancong,” kata Hee Loy Sian.

Beliau berkata pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Khas Pakej Pemulihan Ekonomi Impak Covid-19 di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini.

Katanya, kajian Tourism Selangor mendapati aliran tunai penggiat industri pelancongan hanya mampu bertahan dalam tempoh satu hingga enam bulan lagi.

“Kerajaan Negeri komited merangka pelbagai dasar serta inisiatif bagi merangsang semula sektor pelancongan pada tahun depan dan sama-sama kita berdoa semoga rantaian Covid-19 segera berakhir,” katanya.

Pada 13 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan insentif khas RM1,000 kepada pekerja sektor pelancongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :