Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
AGENSISELANGOR

Covid-19: Jakess seru pendengaran kes dalam talian

SHAH ALAM, 3 NOV: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menyeru pihak yang mempunyai prosiding kes meneruskan pendengaran secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.

Unit Komunikasi Korporat berkata langkah itu membolehkan lebih banyak kes dapat didengar setiap hari kerana mahkamah syariah tidak boleh menampung kehadiran fizikal terlalu ramai bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Perkhidmatan dalam talian ditawarkan ialah wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan dan sebutan kes yang boleh dibuat melalui sidang video.

“Perkhidmatan ini boleh digunakan dengan mengemukakan permohonan kepada pendaftar dan mendapat persetujuan pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jakess menambah pihaknya mewujudkan beberapa perkhidmatan termasuk pendengaran kes secara dalam talian di Mahkamah Syariah Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac.

Bagaimanapun menurutnya, usaha itu kurang mendapat sambutan memandangkan pihak berkaitan lebih cenderung untuk hadir secara fizikal di mahkamah.

“Dalam situasi semasa Covid-19 di Selangor khususnya dalam tempoh PKPB, mahkamah tidak dapat beroperasi penuh berikutan keperluan mewujudkan penggiliran jadual bekerja selaras arahan kerajaan untuk mengurangkan kehadiran pegawai dan kakitangan di pejabat,” katanya.

Susulan itu, jabatan itu terpaksa membuat penjadualan semula kes yang sudah ditetapkan pendengarannya sepanjang tempoh PKPB.


Pengarang :