Sebahagian dari 300 pekerja Top Glove yang dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru Klang pada 23 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kerajaan timbang saring pekerja asing setiap dua minggu

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kerajaan mempertimbangkan keperluan untuk mewajibkan semua pekerja asing menjalani saringan Covid-19 setiap dua minggu, kata kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keutamaan kerajaan pada masa ini adalah kepada saringan kesihatan yang diwajibkan bagi pekerja asing di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Setakat ini, kita akan mulakan ujian calitan kepada semua pekerja asing (di negeri dikenakan PKPB), kalau mereka negatif kita akan kuarantin dan jika positif kita hantar ke hospital.

“Kalau ada keperluan untuk ujian calitan setiap dua minggu kita akan bincangkan, untuk pusingan pertama ini (melibatkan) 1.7 juta (pekerja asing) kita selesai saring mereka ini dulu,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan supaya saringan kesihatan diwajibkan bagi semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan, melalui kaedah RTK Antigen.

Jelasnya, ia penting bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka.

-BERNAMA


Pengarang :