Seramai 250 guru sekolah di Labuan menjalani ujian pengesahan dan saringan kedua Covid-19 serta tindak balas berantai polimerase di Pusat Kokurikulum Negeri Wilayah Persekutuan Labuan pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Kes Lembah Klang terus atasi Sabah

SHAH ALAM, 16 NOV: Sebanyak 1,103 kes Covid-19 dilaporkan hari ini dengan Lembah Klang terus mengatasi Sabah, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan 544 kes atau
49.3 peratus sementara Sabah merekodkan 288 kes (26.1 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 484 kes (89.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster. Kluster Tapak Bina Damanlela di Kuala Lumpur melaporkan kes tertinggi iaitu 385,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penurunan kes Covid-19 di Sabah membuktikan keberkesanan tindakan kawalan dan pencegahan penyakit yang dijalankan secara agresif.

Dr Noor Hisham berkata Perak pula mencatatkan 116 kes (10.5 peratus) daripada keseluruhan kes
hari ini, meningkat 5.5 kali ganda berbanding 21 kes semalam.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 26 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Sebanyak 139 kes (12.6 peratus) lagi berkaitan kluster penjara melibatkan Kluster Tembok (111 kes), Kluster Matambai (15) dan Kluster Penjara Sandakan (empat).

“Selain itu, ia turut meliputi Kluster Penjara Seberang Perai (empat kes), Kluster Penjara Kepayan (dua), Kluster Rumah Merah (dua) dan Kluster Benteng LD (satu),” katanya lagi.

Sementara itu, katanya, sebanyak 821 pesakit berjaya sembuh dengan kes pulih sepenuhnya 35,606 atau 73.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 102 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 39 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian hari ini menjadikan jumlah yang maut sebanyak 313 kes atau 0.7 peratus daripada keseluruhan kes,” kata beliau lagi.

 


Pengarang :