Pekerja syarikat sarung tangan Top Glove menjalani saringan Covid-19 di asrama pekerja wanita di Meru pada 18 November 2020. Foto: BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Kes terus naik, Majlis Keselamatan Negeri mesyuarat esok

SHAH ALAM, 22 NOV: Majlis Keselamatan Negeri bersidang esok susulan peningkatan kes baharu Covid-19 di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurutnya, persidangan itu meneliti beberapa langkah bagi menangani perkembangan kes baharu berkenaan.

“Hari ini Selangor terus catat kes baru yang tinggi iaitu 603 kes, Kluster Teratai menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 504 kes.

“480 kes dari kluster itu dikesan melalui saringan di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dihuni 5,000 individu majoritinya bukan warganegara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Terdahulu dilaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor kali kedua berturut-turut menjadi negeri paling tinggi merekodkan kes baharu Covid-19 dengan 603 kes hari ini, berbanding 402 semalam.

Jumlah itu hampir sekali ganda daripada kes di Sabah apabila menjadi negeri kedua tertinggi dengan 311 kes dan Perak sebanyak 55 kes.

Sementara itu Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melaporkan sehingga kini negeri ini mencatatkan jumlah keseluruhan kes positif iaitu 9,752.

 


Pengarang :