Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika menunggu giliran ujian calitan Covid-19 bagi mereka yang baru tiba dari Sabah di Hospital Labuan pada 28 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM kesan empat kluster baharu, tiga diisytihar tamat

SHAH ALAM, 13 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan Sabah, Sarawak dan Melaka, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Bonggaya di Sandakan, Sabah merupakan kes indeks ke-28,154 yang dikesan positif hasil saringan komuniti pada 27 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 45 lagi kes positif Covid-19. Semua kes ini sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan.

“Sehingga 12 tengah hari sejumlah 243 individu disaring, 46 kes dikesan positif dengan 33 kes baharu, 123 individu negatif dan 74 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata kluster Jambatan B di Sandakan, Sabah adalah kes indeks ke-20, 105 yang diuji positif wabak hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Katanya saringan kontak rapat dan komuniti setempat mengesan sebanyak 52 lagi kes positif Covid-19 dengan kesemuanya dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Covid-19, Dewan Kompleks Sukan Sibuga.

Bagi Kluster Abell di Kuching, Sarawak Noor Hisham berkata kes indeks ke-42,016 dikenal pasti positif hasil saringan kendiri pada 10 November lalu.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 13 lagi kes positif Covid-19. Semua kes itu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Beliau berkata kluster BMU di Jasin, Melaka pula merupakan kes indeks ke-45077 yang dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 11 November lalu dan dimasukkan ke Hospital Melaka.

Menurutnya, saringan kontak rapat mengesan sembilan lagi kes positif dan setakat hari ini sejumlah 69 individu disaring.

Beliau turut memaklumkan tiga kluster diisytihar tamat hari ini iaitu kluster Selasih, kluster Bah Pengkalan dan kluster Bah Pasir.


Pengarang :