Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan sekatan jalan raya di sekitar Jalan Batu Unjur, Pandamaran yang telah ditambah beberapa kawasan oleh Polis Klang Selatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan pada 10 Oktober 2020. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

Covid-19: Penduduk Klang terus waspada, tingkat disiplin elak jangkitan

SHAH ALAM, 17 NOV: Penduduk Klang digesa tidak alpa dan meningkatkan disiplin kendiri bagi mengelak jangkitan Covid-19 susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang berkata kegagalan masyarakat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dibimbangi mencetuskan situasi lebih buruk yang akan membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah terbabit.

“Jika penduduk bimbang (kawasan mereka) dikenakan PKPD maka teruskan amalan pematuhan SOP. Elakkan melepak, berkunjung ke tempat tumpuan awam termasuk mengadakan acara jamuan di rumah melibatkan kehadiran orang ramai.

“Walaupun kebanyakan kes Covid-19 berlaku di tempat kerja misalnya di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove namun masyarakat harus berwaspada, jangan kerana jangkitan belum terjadi di kawasan perumahan dan kita anggap ia tidak akan berlaku,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika dihubungi hari ini.

EXCO kerajaan negeri itu berkata pemahaman tinggi masyarakat terhadap ancaman wabak akan mendorong mereka mengadaptasi norma baharu dalam aktiviti seharian tanpa sebarang masalah.

“Sekiranya sebelum ini memakai pelitup muka dianggap sekadar untuk mengelak dikompaun maka mereka perlu memperbetulkan sikap itu kerana virus boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

“Saya percaya jika kita semua memahami betapa bahayanya wabak ini, setiap individu akan kekal berdisiplin mematuhi SOP seterusnya mampu mencegah penularan,” katanya.

Semalam Klang mencatat 38 kes Covid-19 manakala kelmarin dengan jumlah harian tertinggi iaitu 100 sekali gus kekal dalam zon merah.


Pengarang :