Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian ke dalam beg saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Selangor catat 180 kes, satu kematian

SHAH ALAM, 5 NOV: Kes baharu Covid-19 di Selangor kekal tiga digit hari ini apabila mencatat 180 kes menjadikan jumlah keseluruhan 5,590.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu, 177 kes membabitkan penularan tempatan manakala selebihnya kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Sebanyak 83 kes daripada kluster-kluster termasuk satu kluster baharu iaitu kluster Tamar dan 53 kes saringan kontak rapat kes positif.

Sumber Grafik: KKM

“Tiga kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah), satu kes saringan jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) dan 37 kes daripada lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Mengenai kluster baharu di negeri itu, Noor Hisham berkata Kluster Tamar di Petaling merupakan kes indeks ke-32,410 yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 1 November.

Menurutnya, saringan kontak rapat mengesan sembilan lagi kes positif dan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 137 individu disaring, 10 kes dikesan positif dengan satu kes baharu, 57 individu negatif dan 70 lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Hari ini, kes positif dalam negara kekal empat angka untuk tiga hari berturut-turut apabila mencatat 1,009 kes dan enam kematian iaitu lima di Sabah dan satu di Selangor.

 


Pengarang :