Penghuni kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 November 2020 dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Selangor rekod 364 kes baharu, tertinggi sejak Mac

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 364 kes harian Covid-19 direkodkan di Selangor, tertinggi setakat ini menjadikan keseluruhan jangkitan 7,239.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu, 361 kes membabitkan penularan tempatan manakala selebihnya kes import yang mendapat jangkitan dari Arab Saudi.

“Sebanyak 292 kes daripada kluster sedia ada, 28 kes saringan kontak rapat kes positif dan 41 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) memaklumkan dua daerah menyumbang kepada peningkatan kes di negeri itu hari ini iaitu Hulu Langat (179 kes) dan Klang (109 kes).

“Mukim Kajang mencatatkan 177 kes meliputi saringan kontak (6), saringan kontak rapat (13), saringan bergejala (2), saringan pekerja (18), saringan di kawasan Perintah Kawalan Diperketatkan (137) dan saringan swasta (1).

“Bagi mukim Klang pula, 104 kes direkodkan hari ini, tertinggi bagi daerah Klang, iaitu saringan kontak (5), saringan kontak rapat (1), saringan bergejala (2), saringan pekerja (95), dan saringan pra-pekerjaan (1),” demikian menurut data BGNS.

Sehingga 12 tengah hari, 143 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan kumulatif sembuh 5,424.

Sebelum ini Selangor mencatat kes tertinggi pada 7 November dengan 247 kes.


Pengarang :