Rusia mengumumkan pendaftaran vaksin Covid-19 pertama di dunia, dikenali Sputnik V. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Covid-19: Tempahan awal vaksin selepas dapat kelulusan KKM

SEREMBAN, 7 NOV: Kerajaan akan mula membuat tempahan awal vaksin Covid-19 menerusi peruntukan berjumlah lebih RM3 bilion dalam Belanjawan 2021, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pihaknya yakin peruntukan itu mencukupi bagi membuat tempahan awal vaksin berkenaan yang dianggarkan diperoleh suku pertama tahun depan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita akan mula buat tempahan awal kepada vaksin yang sedang dibangunkan itu. Saya jangka dalam tempoh sebulan dua ini kita akan dapatkan maklumat keberkesanan vaksin itu daripada KKM,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan terjejas banjir di sini, hari ini.

Khairy merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 semalam berkata kerajaan komited mendapatkan sumber vaksin Covid-19 antaranya melalui penyertaan Program Covid-19 Vaccine Global Access (COVAX) dengan jangkaan kos bekalan vaksin melebihi RM3 billion.

– BERNAMA


Pengarang :