Balai ketibaan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 3 Jun 2020 kelihatan lengang berikut penularan pandemik Covid-19. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Thailand rekod 12 kes baharu, keseluruhan kini 3,830

BANGKOK, 7 NOV: Thailand mencatatkan 12 kes baharu Covid-19 termasuk satu jangkitan tempatan menjadikan jumlah kes keseluruhan mencecah 3,830 sementara jumlah kematian kekal 60 dengan tiada kes kematian dilaporkan hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan bahawa seorang lelaki warga negara India berusia 37 tahun, yang bekerja di sebuah restoran di Krabi, didapati positif jangkitan itu ketika membuat saringan Covid-19 untuk memperbaharui permit kerja.

“Pegawai kesihatan awam kini sedang giat menyiasat sumber jangkitan dan mengesan kontak pesakit,” katanya.

Bangkok Post melaporkan bahawa 19 orang adalah kontak rapat pesakit, melibatkan 11 individu di hospital swasta dan lapan di rumahnya di Koh Phi Phi. Kesemua mereka didapati negatif Covid-19.

Sementara itu, CCSA memaklumkan daripada 11 kes Covid-19 baharu, dua daripadanya adalah pemandu trak warga Myanmar – seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 29 dan 45 tahun.

“Mereka telah dihantar balik ke Myanmar untuk rawatan,” katanya.

CCSA berkata baki sembilan kes Covid-19 baharu dilaporkan melibatkan masing-masing dua dari Perancis dan Amerika Syarikat serta masing-masing satu dari Emiriah Arab Bersatu, India, Mexico, Switzerland dan Belanda.

Semua didapati positif semasa menjalani kuarantin wajib.

– BERNAMA


Pengarang :