Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penduduk ketika Program Ramah Mesra Kampung Sungai Salak, Gombak pada 28 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dapat dana RM500,000 bina jambatan, kerja keras 13 tahun berbaloi

GOMBAK, 29 NOV: Penantian satu penyiksaan, namun berbaloi buat penduduk Kampung Sungai Salak, Batu 10 di sini, yang mendapat dana bagi membina jambatan baharu.

Jerih perih yang dialami selama 13 tahun didengari Kerajaan Negeri yang menyumbang RM500,000 untuk membina kemudahan bagi melancarkan pergerakan penduduk setempat.

Setiausaha jawatankuasa bertindak kampung tersebut berkata usaha memohon dana bermula pada 2007 melalui ketua kampung, tetapi tiada jawapan diterima.

“Tiga tahun selepas itu saya buat lagi permohonan, namun hasilnya sama sehingga saya bertekad menubuhkan jawatankuasa bertindak pada 2013 untuk mengemukakan masalah ini secara lebih serius.

Siti Aisah Mohd Junus ketika di temu bual Media Selangor selepas Program Ramah Mesra Kampung Sungai Salak, Gombak pada 28 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sepanjang tempoh itu, banyak kali kami naik turun ke pejabat kerajaan. Alhamdulillah, khabar gembira diterima pada September tahun ini,” kata Siti Aisah Mohd Junus.

Anak jati Kampung Sungai Salak berusia 57 tahun itu menambah penduduk terpaksa menggunakan satu jambatan sahaja yang menghubungkan Kampung Batu 9 1/2 ke Kampung Batu 10.

Jelasnya, jambatan sedia ada tidak boleh dilalui dua kenderaan pada satu-satu masa berikutan saiznya yang terlalu sempit.

Siti Aisah berkata kekangan kemudahan turut menyukarkan pergerakan keluar masuk jentera bomba sekiranya berlaku kecemasan di kampung berkenaan.

“Lebih menyedihkan penduduk tidak dapat keluar masuk apabila jambatan sedia ada rosak,” tambahnya.

Seorang penduduk, Lea Izza Shamsudin, 30, berpendapat keselamatan penduduk kampung akan lebih terjamin apabila jambatan berkenaan siap kelak.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam lawatannya memaklumkan projek pembinaan jambatan itu dijangka bermula awal Januari tahun depan.


Pengarang :