Grafik Media Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari Kaca Mata MB: Merombak daya menuju pendigitalan

Kenyataan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang disiarkan dalam akhbar SelangorKini edisi 12-18 November 2020

Harus diakui pendigitalan menjadi mauduk utama Belanjawan Selangor 20121. Saya percaya hikmah di sebalik Covid-19 memerlukan kita merombak pemikiran dan daya tindak. Kita harus bersedia menerima norma baharu dalam kehidupan.

Aktiviti ekonomi, sosial dan gaya hidup pasti berubah. Rakyat perlu mendakap pendigitalan sebagai norma baharu.

Mengapa usaha ini tidak dapat dielak? Mari kita teliti sejenak beberapa isu mikro yang dihadapi saat ini: kehilangan kerja ataupun pengangguran meningkat. Syarikat mula menghentikan pengambilan pekerja baharu. Kurangnya penyerap kejutan (shock absorber) untuk membantu rakyat sememangnya menggelisahkan.

Beginilah situasi hidup akibat ancaman Covid-19: suatu realiti baharu yang harus kita hadapi dan gagahi, mahu atau tidak.

Banyak langkah disusun kerajaan persekutuan wajar dipuji seperti pengecilan kadar pinjaman asas (BLR) dan juga insentif pengurangan cukai untuk pembelian kereta bagi menggalakkan rakyat berbelanja tetapi ia tidak berlaku kerana kurangnya keyakinan rakyat dan kerisauan mereka terhadap situasi ekonomi dan kesihatan sedia ada.

Apa pilihan lain yang kita ada dalam keadaan begini? Realiti pandemik yang bersifat maraton harus disusun dengan tindakan segera dan langkah-langkah berpanjangan — suatu perancangan sistemik dan bukan gimik.

Dato’ Seri Amirudin Shari melawat lokasi e-dapur di Dewan Terbuka, Padang Awam Batu Caves pada 8 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selangor mengambil tanggungjawab dan menjadi negeri barisan hadapan di negara ini menerusi beberapa penyelesaian untuk meningkatkan keyakinan mikro melalui dasar makro dengan mengangkat Agenda Pendigitalan sebagai pemangkin negeri pintar ulung yang kalis Covid-19.

Maka, Kerajaan Negeri memulakan langkah memperkenal program seperti e-dapur dengan menggarap kerjasama syarikat e-panggilan. Peniaga makanan boleh menggunakan khidmat dapur berpusat (central kitchen) dan meneruskan perniagaan manakala pelanggan boleh membeli secara dalam talian. Peniaga memerlukan upaya ini untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kerajaan Negeri juga memahami usahawan ada masalah kecairan tunai. Justeru, Selangor Advance diperkenal untuk membantu peniaga memperoleh bantuan kecairan tunai supaya mereka boleh terus berniaga. Selain itu, Hijrah juga terus memainkan peranan dengan memberi pinjaman, malah program Niaga Darul Ehsan (NaDi) diperkenal untuk memudahkan rakyat mendapat pinjaman serendah RM1,000 dan mendapat lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan.

Membentang peluang

e-Permainan dan e-sukan yang dirangka pula bukan hanya untuk pemain tetapi kita mahu anak-anak muda terlibat dalam penciptaan kandungan (content creater). Industri ini ada potensi kewangan yang sangat besar; kita mahu anak muda mengambil peluang yang terbentang luas memandangkan institusi sedia ada sama ada swasta seperti studio animasi mahupun universiti cukup matang dalam industri animasi perfileman.

Teknik pembelajaran juga sudah jauh berbeza. Maka, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk memberi kad sim melalui program Data Internet Selangor yang membolehkan mahasiswa dan anak-anak sekolah belajar dalam talian dan mengakses pembelajaran dalam talian walau di mana mereka berada.

Petugas Kesihatan Selcare mencatat maklumat peribadi orang awam sebelum membuat saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Penting dinyata betapa usaha yang digariskan dalam Belanjawan Selangor 2021 harus dibaca bersama dengan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa satu hingga tiga. Pakej fasa satu bertujuan membantu mangsa dan petugas yang membendung Covid-19; fasa dua untuk menampan kesan langsung wabak seterusnya fasa tiga memberi tumpuan penyelesaian kitaran ekonomi bagi meningkatkan daya tahan rakyat dalam menempuh kesan Covid-19.

Jumlah keseluruhan pakej fasa satu hingga tiga ialah RM456.15 juta. Untuk Belanjawan Selangor 2021, kita merancang untuk berbelanja RM369 juta semata-mata untuk pendigitalan — suatu jumlah yang besar dan berani!

Selain perbelanjaan Kerajaan Negeri, Belanjawan Selangor 2021 juga disokong peruntukan anak syarikat Kerajaan Negeri berjumlah RM295.5 juta untuk bersama-sama melaksanakan program lain termasuk seperti Program Pendigitalan Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) dan e-Pembekalan Peruncit Mikro dan Kecil yang akan membantu Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dalam melancarkan perniagaan mereka dan memberi penyelesaian menang-menang dalam tawaran pasaran bersama-sama pemain besar sedia ada antaranya pasar raya mini 99 Speed Mart dan pasar raya Giant.

Menampan beban

Untuk mereka yang mahu menampan beban kewangan sekali gus memanfaatkan bakat sedia ada, rakyat Selangor boleh bergiat dalam ekonomi tidak formal melalui Selangor Freelancer ataupun meningkatkan kemahiran menerusi Selangor Kerjaya.

Kepada yang tidak begitu biasa dengan dunia digital dan mungkin ada sedikit fobia dengan perkomputeran, kita turut menyediakan Rakan Digital Selangor yang boleh membimbing mereka langkah demi langkah agar mereka tidak ketinggalan dalam pecutan teknologi yang dijuarai Selangor.

Dana Inovasi Selangor pula disediakan bagi memberi galakan yang lebih untuk para pemula (startup) bagi terus membantu menyelesaikan masalah masyarakat melalui kaedah keusahawanan sosial (social enterprise).

Selangor Kerjaya dengan latihan kemahiran baharu (new skill), tingkat kemahiran (upskilling) dan pulih kemahiran (reskilling) merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri mengurangkan pengangguran sekali gus membasmi kemiskinan. Foto ARKIB SELANGORKINI

Inovasi ternyata begitu penting, lebih-lebih lagi dalam penyampaian perkhidmatan. Kerajaan Negeri sendiri mendapat limpahan manfaat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan terlaksananya Smartbox Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Sehingga 24 Ogos 2020, ‘Smartbox’ mencatatkan kutipan RM2.8 juta bersamaan lebih 12,000 transaksi, angka yang belum pernah dicapai melalui sistem bayaran di kaunter sebelum ini.

Banyak lagi inovasi yang sedang diterokai di luar Belanjawan Selangor 2021. Antara yang utama pastinya SELangkah. Portal penjejakan langkah kebanggaan Selangor sangat berjasa semenjak hari-hari awal pandemik bermula mendahului usaha seumpamanya. Marilah kita nantikan penambahbaikan ciri-ciri SELangkah yang bakal merancakkan lagi industri berasaskan teknologi.

Lain-lain inisiatif pintar termasuk CEPat (Citizen e-Payment) yang memudahkan pembayaran urusan berkaitan kerajaan dan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor atau Seldec yang mampu menyelesaikan masalah lambakan sumber, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan makanan.

Selain usaha di atas yang dipandu Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), terdapat banyak lagi ‘startup homegrown’ yang berpotensi sebesar Grab dan Airbnb dalam bidang pertanian dan penyelesaian automotif serta logistik bawah seliaan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec).

Itu belum lagi dikira geran penyelidikan yang masih aktif menggunakan internet segalanya (IoT), pengkomputeran awan (cloud-based) dan teknologi realiti luasan (Augmented Reality) antara lain untuk program pengesanan awal psoriasis, autisme dan cerebal palsy menggunakan kaedah permainan (gamification). Terdapat juga beberapa pengaplikasian penyelesaian untuk sistem Halal, e-fatwa dalam fikah dan pendigital pembelajaran bersepadu (immersive learning) untuk jawi serta bahasa Arab.

Diharap agar rakyat Selangor yang cekal mengambil peluang dan bersama-sama bingkas untuk menyumbang dalam realiti baharu lantaran dampak Covid-19.


Pengarang :