Anggota polis dan tentera memeriksa pengguna motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Darurat: Penugasan polis di Batu Sapi masih ikut SOP

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Parlimen Batu Sapi, Sabah masih mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan di seluruh Sabah pada 13 Okt lepas meskipun darurat diisytiharkan di kawasan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis bagaimanapun bersedia jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan perintah lebih ketat seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana-mana lokasi di kawasan Parlimen berkenaan.

“Berdasarkan arahan MKN, polis akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menambah anggota dan memperketatkan kawalan. Setakat ini, penugasan polis di kawasan berkenaan adalah seperti biasa.

“Saya akur dengan keputusan pengisytiharan ini yang bermakna Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi tidak akan dilaksanakan kerana saya memang berpendapat pelaksanaannya perlu dielakkan berikutan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Sabah ketika ini,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata kegiatan dan pergerakan orang ramai di kawasan Parlimen itu yang masih di bawah PKPB tertakluk kepada arahan semasa MKN.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang ketika dihubungi Bernama turut senada dengan Abdul Hamid.

Beliau berkata ATM akan mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan walaupun Batu Sapi diisytihar darurat.

Hari ini, Bernama melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan PRN kerusi itu.

Turut dilaporkan, proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

-BERNAMA


Pengarang :