AGENDAEKONOMINASIONAL

Data ekonomi dijangka pacu prestasi ringgit minggu depan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Ringgit memberi reaksi positif serta mengukuh sebanyak 0.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat – paras paling kukuhnya berbanding unit negara maju itu dalam tempoh seminggu.

Bagi minggu akan datang, prestasi ringgit dijangka mendapat dorongan menerusi pengumuman data ekonomi terbaru yang dilihat memberi kejutan positif untuk unit tempatan itu.

Penganalisis Pasaran FTXM Han Tan berkata ringgit berserta semua mata wang utama Asia mencatatkan aliran peningkatan mingguan berbanding dolar AS yang sebaliknya susut daripada kenaikan awal sebelum pemilihan presiden negara itu.

Menurutnya, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tidak berubah pada awal minggu yang seiringan dengan jangkaan pasaran, juga membantu prestasi ringgit bagi tempoh tersebut.

“Selain itu, kejutan positif data ekonomi Malaysia yang akan diumumkan minggu depan seperti pengeluaran perindustrian bagi September dan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku ketiga juga boleh mempengaruhi jangkaan sekitar pemulihan ekonomi dan memberi sokongan untuk ringgit.

“Ekonomi Malaysia dijangka menguncup sebanyak 6.5 peratus pada suku ketiga yang lebih baik daripada prestasi suku kedua yang menguncup sebanyak 17.1 peratus,” katanya.

Bagi minggu depan, tukaran ringgit dan dolar AS dijangka dalam sentimen lemah sementara menunggu sebarang perubahan besar membabitkan pilihan raya Presiden AS.

“Ini kerana kemenangan Joe Biden akan menyaksikan dolar AS menyederhana lagi yang sebaliknya membuka ruang tukaran ringgit-dolar pada 4.11 seperti pada pertengahan September.

“Namun, jika Donald Trump berjaya mengubah keadaan dan menuntut kemenangannya atau tuntutan undang-undangnya terhadap undian terbukti membantunya, ini boleh memulihkan dolar AS dan menyebabkan ringgit-dolar AS ke arah paras rintangan pada 4.17,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh semula berbanding dolar AS kepada 4.1275/1325 daripada 4.1530/1570 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0624/0668 daripada 3.0427/0468 Jumaat lepas, rendah berbanding yen kepada 3.9918/9978 daripada 3.9757/9814 sebelum ini.

Ringgit turun berbanding pound Britain kepada 5.4231/4313 daripada 5.3806/3866 dan susut berbanding euro pada 4.8923/8995 daripada 4.8470/8529 sebelum ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :