Smart Selangor Parking dibangunkan selaras komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan hasrat Negeri Pintar terulung di rantau Asean menjelang 2025. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Dedah pendigitalan demi masa depan rakyat Selangor

SHAH ALAM, 4 NOV: Rakyat negeri ini perlu dididik dan didedahkan dengan pendigitalan sebagai persediaan masa hadapan pascawabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bertepatan, malah Belanjawan Selangor 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu mengutamakan platform maya.

“Memang diakui tidak semua rakyat bersedia apabila kita buat pendigitalan, namun kita perlu sedar walau dapat putuskan rantaian pandemik, kita mungkin berdepan gelombang baharu.

“Jadi kita tidak boleh mengeluh. Kita buat untuk masa depan sebab itu ditubuhkan program digitalisasi untuk semua termasuk sistem pendidikan,” katanya dalam program temu bual bersama Astro Awani malam tadi.

Amirudin berkata pemberian data internet pada tahun depan akan mengukuhkan langkah berkenaan selain memudahkan urusan rakyat.

“Kita juga akan jalin kerjasama dengan Telekom Malaysia bagi memastikan rangkaian jalur lebar tersusun,” katanya lagi.

Data Internet Selangor diperkenalkan pada 2021 bagi mengurangkan masalah jurang digital supaya golongan berpendapatan rendah (B40) berupaya mencipta pendapatan.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM17.5 juta diperuntuk bagi menjayakan program itu termasuk inisiatif WiFi yang dijangka memanfaatkan hampir 54,000 pengguna.

 


Pengarang :