Penganut Hindu S. Vaarshaa dan S. Jasveer memakai pelitup muka ketika mengikuti upacara keagamaan bersama keluarga di Kuil Sri Maha Kaaliamman sempena sambutan Deepavali hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Deepavali dirai sederhana selaras SOP bendung penularan wabak

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Meskipun berdepan situasi sukar ekoran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan dan PKP Bersyarat, perayaan Deepavali tahun ini disambut sederhana namun penuh keriangan oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh negara.

Biarpun ada yang masih janggal dan kekok dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang jangkitan wabak berkenaan, mereka akur dalam memastikan rantaian penularan dapat diputuskan.

Ceria melaram pakaian berwarna-warni, penganut Hindu juga dilihat tidak melupakan pelitup muka masing-masing selain menjaga jarak fizikal satu meter dan mengimbas suhu badan ketika menghadiri upacara sembahyang di kuil bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Midlands, Seksyen 7, Shah Alam, mendapati walaupun tidak seramai seperti tahun-tahun yang lepas, pengunjung sanggup ‘berpanas’ di khemah menunggu giliran untuk bersembahyang bagi melengkapkan sambutan pesta cahaya itu.

Setiap pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka, menulis nama masing masing atau scan QR Code My Sejahtera sebelum dibenarkan masuk ke dalam kawasan kuil. Foto BERNAMA

Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Midlands R.Mohanraj, 63, berkata pengunjung datang seawal 6 pagi dan walaupun sedikit kekok apabila perlu mendaftar Mysejahtera dan mengimbas suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke kuil, mereka tetap akur demi faktor keselamatan dan kesihatan.

Pengunjung M. Krishna, 20, yang setiap tahun bersembahyang di kuil tersebut pula meluahkan rasa janggal apabila kuil berkenaan tidak dipenuhi orang ramai yang kebiasaannya datang seawal 6 pagi untuk upacara mandi.

Di MELAKA, Setiausaha Hal Ehwal Masyarakat, Jabatan Ketua Menteri, M.S. Mahadevan berkata sambutan Deepavali di negeri ini turut berlangsung secara sederhana dengan tiada sebarang aktiviti kunjung-mengunjung dan hanya diraikan bersama keluarga terdekat.

Beliau yang juga Pengerusi MIC Melaka bagaimanapun berkata, sambutan tahun ini tidak mengabaikan golongan yang tidak bernasib apabila sumbangan barangan keperluan harian diberikan kepada 700 penerima bagi menyambut perayaan tersebut.

Di PERAK, Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh, di Ipoh tetap menjadi tumpuan untuk penganut Hindu melaksanakan upacara sembahyang dengan pakaian berwarna-warni.

Seorang pengunjung S.Hema, 24, dari Bercham, Ipoh berkata walaupun tiada kunjungan daripada saudara-mara dan rakan yang tinggal di luar daerah, namun dia dan keluarga tetap membuat persiapan termasuk membuat biskut untuk memastikan pesta cahaya tahun ini memberikan keriangan.

Bagi anggota Rela, K.Gajendran, 36, dari Tasek, Ipoh, pula, beliau sanggup bekerja pada hari Deepavali untuk memastikan SOP dipatuhi oleh para pengunjung dan menganggapnya sebagai pengorbanan untuk negara.

Di JOHOR BAHRU, Pengerusi Kuil Sri Subramaniar K.Arumugam berkata, orang ramai yang hadir dilihat mematuhi SOP ditetapkan selain tidak berada dalam tempoh masa yang lama di dalam kuil.

Seorang pengurus penyelidikan dan pembangunan di sebuah syarikat antarabangsa, G.Ramesh, 45, dan isterinya, P.Sumathi, 41, ketika ditemui di kuil berkenaan pula berkata walaupun tidak dapat pulang ke kampung di Negeri Sembilan, namun sambutan pesta cahaya itu tetap dirai penuh gembira dengan membuat panggilan video kepada ahli keluarga dan saudara tercinta.

Kelihatan seorang penganut Hindu lengkap memakai pelitup separuh muka ketika beribadat di Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasathanam, Batu Caves yang turut kelihatan lengang pada tinjauan sambutan Deepavali hari ini. Foto BERNAMA

Sementara itu,Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Pulau Pinang atau Kuil Arulmigu Balathandayuthapani yang sebelum ini menjadi tumpuan ramai juga dilihat kurang sesak hari ini.

Tinjauan kira-kira 9 pagi tadi mendapati laluan trafik di Jalan Kebun Bunga lancar tanpa sebarang sekatan jalan raya selain gerai makanan ditempatkan di kawasan di tepi jalan.

Penganut agama Hindu dilihat mengunjungi kuil untuk memohon keberkatan dan tanpa berlengah-lengah terus pulang ke rumah tidak lama kemudian.

Pengerusi kuil Datuk R. Subramaniam berkata pengunjung kuil diminta mematuhi SOP dengan ketat dan tidak dibenarkan berada dalam tempoh yang lama di kuil, sebaliknya perlu segera pulang setelah selesai bersembahyang kerana kapasiti untuk kuil itu hanyalah antara 20 dan 30 orang pada satu-satu masa.

– BERNAMA


Pengarang :