B Vemmala, 24, (dua, kanan) bersama ahli keluarganya menyalakan api pada kolum hiasan dekorasi di halaman rumahnya bagi memeriahkan suasana menjelang Deepavali di Denai Alam pada 12 November 2020. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Deepavali eratkan hubungan walau di tengah wabak

Perutusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Deepavali pada 14 November 2020.

Vanakkam, En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal.

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Selangor, khususnya kepada masyarakat yang beragama Hindu dan Sikh.

Saya percaya sambutan perayaan kali ini membawa makna yang amat berbeza berbanding tradisi sambutan Deepavali yang biasa kita sambut.

Kalau dahulunya saya berkesempatan melawat rumah kawan dan kenalan di kawasan saya Sungai Tua, kini ianya diganti dengan ucapan melalui WhatsApp dan video ataupun tulisan seperti ini.

Dan saya percaya ianya juga sama untuk anda yang mungkin tidak berpeluang bertegur sapa dan menyambut perayaan ini dengan keluarga serta rakan taulan disebabkan pelbagai jenis kawalan pergerakan di hampir seluruh negara.

Unik, tersendiri

Namun demikian, saya yakin kepentingan perayaan Deepavali, ataupun Diwali, tetap akan disambut dengan cara tersendiri yang kita anggap sebagai suatu realiti baharu pada tahun 2020 yang amat unik.

Deepavali pada asasnya adalah perayaan lampu berasal daripada perkataan ‘deep’ yang bermaksud lampu, dan ‘avali’ yang membawa maksud barisan.

Walaupun begitu, Deepavali juga membawa makna yang lebih mendalam, yakni kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kejayaan kebaikan mengatasi keburukan, dan kekuatan harapan dan ilmu mengatasi kejahilan.

Petugas pembersihan melakukan kerja-kerja penyemburan cecair nyahkuman dalam kuil menjelang sambutan Deepavali ketika tinjauan di Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 7, Shah Alam pada 13 November 2020. Foto BERNAMA

Dan saya percaya penganut agama Hindu dapat mengimbau riwayat kepulangan kembali Dewa Rama ke Ayodhya dengan pelbagai jenis lampu setelah berusaha hampir 14 tahun dalam perjuangannya.

Kisah kejayaan Dewa Rama ke atas Ravana wajar ditelusuri kerana ia mempunyai persamaan kepada situasi yang sedang kita hadapi pada waktu ini.

Penularan wabak Covid-19 yang bermula pada bulan November 2019 di Wuhan, China, dan seterusnya merebak ke seluruh dunia termasuk Malaysia pada bulan Februari, telah menyebabkan perubahan pelbagai aspek dalam kehidupan harian kita.

Bermula dengan cara kita berinteraksi dengan keluarga dan kawan, ke pekerjaan harian, cara kita membeli barang makanan dan keperluan asas, semuanya telah berubah.

Perubahan-perubahan ini mendesak Kerajaan Negeri Selangor untuk membawa pendekatan digitalisasi bagi ‘Melakar Realiti Baharu, Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat’ dalam Belanjawan Selangor 2021.

Realiti baharu yang saya sebutkan bukan sahaja bermula dan terhenti setakat kepada pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair nyahkuman.

Realiti baharu melibatkan setiap aspek hidup dan kehidupan kita untuk memastikan masyarakat berdaya tahan sehingga vaksin Covid-19 ditemui dan kehidupan pasca-Covid-19 dapat digagahi dengan cekal.

Bantuan dihulur

Selangor mengambil tanggungjawab sebagai negeri barisan hadapan yang tangkas untuk mencari beberapa solusi bagi kepentingan rakyat.

Ini termasuk iltizam bagi menyediakan sekurang-kurangnya 15,000 peluang pekerjaan melalui inisiatif digitalisasi seperti Selangor Kerjaya, Selangor Freelancers, Selangor Automotif TVET dan Rakan Digital Selangor agar cabaran pengangguran dapat diatasi.

Tidak cukup dengan itu, aspek kebajikan sosial rakyat turut dipelihara melalui Skim Mesra Usia Emas 2.0 yang memberi RM500 sebagai bantuan khairat kematian kepada waris warga emas, menambah penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) seramai 5,000 penerima, khususnya buat para ibu tunggal, serta menambah nilai insurans bagi program Skim Peduli Sihat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak penyerahan geran peralatan pada Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) Yayasan Hijrah di Perkarangan Bangunan SUK, Shah Alam pada 12 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selain itu, bantuan khusus juga disalurkan kepada masyarakat India melalui Program Pembinaan Usahawan India yang melibatkan penyediaan latihan keusahawanan dan kursus kemahiran pembuatan, serta menambah jumlah Ketua Komuniti India daripada 48 orang sebelum ini kepada 62 orang yang akan menerima elain bulanan dan peruntukan program.

Saya mengajak masyarakat India mengambil peluang-peluang ini dan berharap usaha Kerajaan Negeri dapat memberi peluang pekerjaan baharu sekaligus meningkatkan keberdayatahanan komuniti India sehingga kita memasuki fasa pasca-Covid-19.

Sekali lagi, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Selangor dan berharap perayaan ini dapat mengeratkan silaturahmi antara keluarga dan sahabat kita semua.


Pengarang :