Anggota polis dan tentera memeriksa penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Deepavali: Tidak dibenarkan balik kampung rentas kawasan PKPB, PKBD – menteri

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Tiada pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri dibenarkan bagi mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tujuan balik kampung bersempena Deepavali, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya itu antara yang dipersetujui pada sidang khas hari ini yang mendengar pembentangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Deepavali pada 14 November ini.

Sidang khas itu juga bersetuju penganut Hindu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKPB dibenarkan mengikuti upacara keagamaan pada hari pertama sambutan dengan SOP yang ketat, katanya.

“Bagaimanapun, aktiviti sembahyang di rumah ibadat, aktiviti ziarah dan perniagaan adalah tidak dibenarkan dalam kawasan PKPD,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kuil hanya dibuka dari 7 pagi hingga 12 tengah hari dengan upacara disertai tidak lebih 30 orang pada satu-satu masa, bergantung pada keluasan premis.

“Sesi sembahyang itu perlu dibahagikan kepada lima sesi (30 minit setiap sesi) dengan diselangi operasi sanitasi selama 30 minit dengan manisan juga perlu diagihkan secara bungkus kepada penganut dan mereka perlu bersurai selepas selesai upacara sembahyang,” katanya.

Mengenai sambutan di rumah, Ismail Sabri berkata hanya maksimum 20 orang terdiri daripada keluarga terdekat dibenarkan bagi kediaman bertanah sementara kediaman strata pula tidak boleh melebihi 10 orang bagi keluasan kurang 1,500 kaki persegi (kps) dan maksimum 15 orang untuk premis berkeluasan 2,500 kps.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata polis menahan 506 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam, merangkumi kegagalan merekod butiran pelanggan (145); tidak memakai pelitup muka (124); gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (96); aktiviti pusat hiburan (72); premis beroperasi lebih masa (17) dan lain-lain (52).

Mengulas Operasi Benteng, beliau berkata seramai 41 pendatang tanpa izin, dua tekong dan dua penyeludup ditahan semalam serta lima kenderaan darat dirampas.

-BERNAMA


Pengarang :