Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, pada 3 Oktober 2020. Foto: BERNAMA
AGENDA

Deepavali: Upacara sembahyang dibenar dengan SOP ketat

SHAH ALAM, 5 NOV: Penganut hindu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Bersyarat (PKPB) dibenarkan mengikuti upacara sembahyang pada hari pertama sahaja mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun upacara sembahyang di rumah ibadat membabitkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

“Pergerakan merentas mukim, daerah dan negeri dari kawasan PKPB dan PKPD bagi tujuan balik kampung atau dari (negeri) luar untuk memasuki PKPB dan PKPD adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Berikut SOP Deepavali di kawasan PKPP dan PKPB:

1. Rumah ibadat (kuil)
– Menyediakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan dan saringan gejala berkaitan Covid-19 seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas
– Kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau direkodkan di dalam buku kehadiran
– Penganut yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak digalakkan hadir
– Upacara sembahyang hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP pembukaan rumah ibadat yang dikeluarkan dan tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa tertakluk kepada keluasan ruang rumah ibadat (kuil) dengan penjarakan fizikal.
– Sesi upacara sembahyang perlu diadakan bermula jam 7 pagi sehingga jam 12 tengah hari dengan pembahagian sebanyak lima sesi sahaja (30 minit setiap sesi) dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 30 minit sebelum memulakan sesi baharu.
– Manisan perlu diagihkan secara berbungkus kepada penganut dan terus bersurai selepas selesai upacara sembahyang.

2. Rumah kediaman
– Perayaan di rumah kediaman bertanah (landed) dalam kalangan keluarga terdekat perlu tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa
– Perayaan di rumah kediaman strata dengan keluasan kurang daripada 1,500 kaki per segi (tidak melebihi 10 orang) dan bagi keluasan melebihi 2,500 kaki per segi (tidak melebihi 15 orang) pada satu-satu masa.

3. Aktiviti jualan dan perniagaan
– Hanya di premis yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pihak berkuasa lain namun aktiviti jualan secara dalam talian digalakkan

SOP Deepavali di kawasan PKPD:

1. Rumah kediaman
– Perayaan dibenarkan bagi seisi keluarga dalam rumah sama sahaja dengan memastikan penjarakan fizikal, kebersihan diri dan mengelakkan 3C iaitu kawasan sesak, ruang tertutup dan juga perbualan jarak dekat
– Melaksanakan sanitasi secara berkala terutama di meja makan dan permukaan yang terdedah kepada banyak sentuhan.
– ziarah dikawasan tidak dibenarkan.

2. Aktiviti jualan dan perniagaan
– Tidak dibenarkan

 

 


Pengarang :