Mohd Khairuddin Othman pada sesi soal jawab sempena sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 6 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Dewan Kongres Belia Selangor diwujud, dengar suara anak muda – EXCO

SHAH ALAM, 7 NOV: Dewan Kongres Belia Selangor yang dianggotai 56 individu bakal ditubuhkan pada awal tahun depan, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 10 daripada mereka dipilih sebagai EXCO jawatankuasa eksekutif peringkat negeri yang berfungsi mengetengahkan isu semasa serta langkah memperkasa golongan tersebut.

“Semua 56 anggota kongres dipilih dalam kalangan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) seluruh negeri berdasarkan kriteria tertentu antaranya aktif dalam aktiviti dan mempunyai sifat kepimpinan tinggi.

“Resolusi kongres dibawa kepada saya selaku EXCO bertanggungjawab dan bakal diangkat ke dalam Sidang DNS bagi membolehkan isu serta cadangan dikemukakan diteliti wakil rakyat,” katanya pada  sidang DNS semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa mendengar suara dan pandangan anak muda dalam setiap proses keputusan di semua peringkat.

“Dewan kongres ini merupakan kesinambungan kepada penubuhan PeBT, selaras hasrat Kerajaan Selangor menggerakkan program pembangunan generasi muda secara menyeluruh,” katanya.

Pada 3 Oktober Selangor menjadi negeri pertama menganjur sidang DNS secara maya khusus untuk golongan muda termasuk pelajar sekolah seawal umur 15 hingga 35 tahun.

Program yang disertai 56 peserta mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan melahirkan bakal pemimpin berkaliber, bertanggungjawab dan memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan peserta.


Pengarang :