Sesi perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 4 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Dewan Negeri Selangor lulus usul pertahan status warta hutan simpan

SHAH ALAM, 11 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan usul menggesa Kerajaan Negeri mempertahankan status warta hutan simpan di seluruh negeri.

Usul dibawa Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan empat ADN iaitu Edry Faizal Eddy Yusof dari Dusun Tua, Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Dato’ Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang) dan Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya).

Najwan menggesa supaya kawasan tadahan air dan hutan simpan dikekalkan serta dipelihara dengan baik supaya sumber air mencukupi pada masa akan datang.

“Ia adalah selari dengan nasihat serta ingatan dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar kawasan tadahan air dan hutan simpan di negeri ini kekal dipelihara dengan baik,” katanya pada sidang DNS hari ini.

Sementara itu, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan hutan simpan dikekalkan.

“Oleh sebab itu kita berjaya meningkatkan keluasan hutan sehingga 205,207 hektar atau 31.5 peratus dari keluasan negeri, pada masa sama 44,543 hektar hutan sudah diwarta di bawah kelas hutan tadahan air.

“Manakala 130,360 hektar diwarta sebagai hutan perlindungan,” katanya.


Pengarang :