Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bercakap ketika sidang media selepas Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Majlis Parlimen Keempat Belas di Bangunan Parlimen pada 21 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dewan Rakyat maklum SPR kerusi parlimen Gerik kosong

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi parlimen P054 Gerik, Perak susulan kematian penyandangnya Datuk Hasbullah Osman.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan suruhanjaya tersebut bahawa ada kekosongan.

“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 18 Nov 2020 kepada pengerusi SPR bahawa Yang Berhormat Datuk Hasbullah Osman, Ahli Parlimen Gerik, Perak telah meninggal dunia pada hari Isnin, 16 Nov 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pihak Parlimen, Azhar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang pada Isnin akibat serangan jantung.

-BERNAMA

 


Pengarang :