Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengadakan lawatan kerja di PKPD di Jalan Teratai, Klang pada 28 November 2020. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Dr Noor Hisham lawat kawasan PKPD asrama Top Glove

SHAH ALAM, 28 NOV: Ketua Pengarah Kesihatan mengadakan lawatan kerja hari ini ke asrama Top Glove di Klang yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pengurusan PKPD membabitkan asrama lelaki dan wanita kilang itu yang terletak di Jalan Teratai.

“Saya sempat bertukar pendapat dengan pihak pengurusan operasi yang terlibat dan mendengar isu berbangkit agar operasi PKPD ini berjaya dalam membendung penularan ke dalam komuniti,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata pengurusan kesihatan di lokasi itu diuruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Klinik Kesihatan Meru, selain anggota kesihatan dari daerah luar serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Aktiviti pengurusan kesihatan meliputi saringan Covid-19, kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian arahan home surveillance order (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital dan pengurusan data,” katanya.

Rabu lalu, tujuh daripada 28 kilang Top Glove diarah tutup sehingga 8 Disember selepas merekodkan ribuan kes positif Covid-19.

Setakat 24 November, seramai 4,036 orang disahkan positif wabak bagi kluster Teratai, majoriti pekerja Top Glove, termasuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah berkenaan, 3,846 orang yang positif bukan warganegara daripada 5,777 orang disaring.


Pengarang :