Dua pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini pada 3 November 2020 atas tuduhan melakukan khianat dengan melupus dan melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua beranak mengaku tidak bersalah cemar Sungai Gong

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Dua pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan melupus dan melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang.

Chai Kin Sang, 62, dan anaknya Chai Wern Teik, 31, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua lelaki itu didakwa telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada premis FG Autoparts Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Batu Arang, Rawang dekat sini antara 17 dan 19 Oktober lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel serupa ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan pada 5 September 2020. Foto BERNAMA

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di Mahkamah Selayang menaiki van polis pada 8.13 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

“Kes ini adalah kes pencemaran kedua berlaku di Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan enam juta penduduk di sekitar Lembah Klang tidak ada air selama beberapa hari.

“Sekiranya mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan saya, saya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM2 juta bagi setiap tertuduh berserta syarat-syarat tambahan,” katanya.

Peguam Muhammad Nor Izzat Nordin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak-anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

“Kedua-dua tertuduh adalah penanggung utama keluarga yang masing-masing menanggung isteri serta tiga dan dua anak.

“Selain itu, mereka juga bersedia untuk dikenakan sebarang syarat tambahan. Anak-anak guam saya juga tidak ada risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin, masing-masing RM400,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak dibenarkan menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Lebih 20 wakil media tempatan berada di depan pintu mahkamah seawal 7 pagi sebelum dibenarkan masuk pada 8.10 pagi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 pagi 19 Oktober lepas, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras 3 TON (ukuran kadar bau).

Media sebelum ini melaporkan henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pada 15 September lepas, empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat dihadapkan ke mahkamah sama berhubung pelepasan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong.

-BERNAMA


Pengarang :