Kedua-dua helikopter dipercayai bertembung di udara menyebabkan helikopter berwarna biru terhempas manakala sebuah lagi sempat membuat pendaratan cemas. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua helikopter dipercayai bertembung sebelum terhempas, dua maut dua cedera

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Dua lelaki disahkan maut dalam nahas melibatkan dua helikopter yang dipercayai bertembung di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi di Taman Melawati, Ampang dekat sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohamed Sabri Baharom, 56, beralamat di Wangsa Melawati, di sini dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, beralamat di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Beliau berkata dua yang terselamat merupakan lelaki dan wanita, masing-masing berusia 66 dan 51 tahun.

Norazam berkata nahas itu melibatkan helikopter, masing-masing berwarna biru dan merah, dengan mangsa yang maut adalah daripada helikopter berwarna biru.

“Kedua-dua helikopter dipercayai bertembung di udara. Kejadian menyebabkan helikopter berwarna biru terhempas manakala sebuah lagi sempat membuat pendaratan cemas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

-BERNAMA


Pengarang :