Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan pada 5 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

DUN lulus pindaan, pencemar air boleh dipenjara, denda RM1juta

SHAH ALAM, 9 NOV: Rang Undang-Undang Lembaga Urus Air Selangor (Luas) Pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pencemar air diluluskan hari ini.

Cadangan tersebut dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Jumaat untuk dibahaskan mendapat sokongan wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Perikatan Nasional (PN) pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Pindaan tersebut menaikkan denda daripada RM100,000 kepada minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta manakala penjara dijadikan hukuman mandotari.

Lapan lelaki termasuk seorang pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Selayang pada 22 Okt berhubung pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor. Foto BERNAMA

Undang-undang tersebut juga membolehkan Luas menuntut kos membersih sumber air serta ganti rugi sepanjang memegang harta yang disita.

Peruntukan lain di bawah undang-undang tersebut adalah:

1. Mewujudkan jawatan timbalan pengarah Luas yang buat masa ini tiada.

2. Memberi kuasa kepada timbalan pengarah menjalankan fungsi pengarah sekiranya pengarah tidak berupaya menjalankan tugas atau sedang bercuti.

3. Menambah bilangan ahli jawatankuasa yang boleh dibayar elaun. Pemberian elaun bertujuan mendapatkan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak.

4. Menambah baik prosedur arahan kepada mana-mana individu atau pihak berkuasa awam supaya mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air yang terjejas.

5. Memberi kuasa kepada Luas untuk mengenakan caj lebihan pengambilan air. Langkah ini untuk mengawal penggunaan dan pembaziran sumber air.

6. Memberi kuasa kepada pengarah atau pangkat pegawai polis tidak rendah daripada inspektor untuk menyita tanpa waran harta benda.

7. Mahkamah boleh memerintahkan harta benda yang disita dilucutkan hak walaupun tiada pertuduhan. Sekiranya mahu dituntut semula, ia perlu dirujuk kepada mahkamah.

8. Tiada seorang pun berhak menuntut ganti rugi berkaitan penyitaan harta benda.

9. Memperuntukkan kuasa kepada Luas untuk memberi ganjaran kepada pemberi maklumat.


Pengarang :