Loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang, lokasi disyaki berlaku pencemaran bau di Sungai Selangor pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Empat individu ditahan insiden pencemaran Sungai Selangor

SHAH ALAM, 11 NOV: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita di tiga lokasi berasingan berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Selangor semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata suspek berusia antara 33 hingga 43 tahun itu ditahan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya antara tengah malam tadi hingga awal pagi ini.

“Siasatan mendapati wanita itu merupakan penama berdaftar dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Dia menyewa premis yang disyaki melakukan aktiviti membuang sisa kimia ke dalam lubang kumbahan.

“Dua suspek lain termasuk seorang warga Bangladesh pula didapati menjadikan premis itu sebagai tempat menyimpan bahan kimia,” kata Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan pagi ini.

Menurutnya, semua suspek akan direman pagi ini di Mahkamah Selayang bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Susulan pencemaran itu, Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas hingga menyebabkan lebih 1.1 juta pemegang akaun di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas manakala pemulihan bekalan air bemula jam 3 petang hari ini.


Pengarang :