Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berpakaian sut PPE melakukan pemeriksaan bagi memastikan setiap penghuni menjalani saringan Covid-19 susulan pelaksanaan PKPD berkuat kuasa 28 Oktober di Plaza Hentian Kajang ketika tinjauan pada 1 November 2020. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Enam lagi kluster baharu dikesan, tiga di Lembah Klang

SHAH ALAM, 9 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti enam lagi kluster baharu Covid-19 di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Putrajaya.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Nahaba di Kota Belud, Sabah merupakan kes indeks ke-35,808 yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 4 November.

“Saringan kontak rapat mengesan 24 lagi kes positif dan kesemuanya dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Seri Bayu Pirasan, Kota Belud.

“Sehingga 12 tengah hari tadi sejumlah 65 individu disaring, 25 kes dikesan positif dengan 24 kes baharu dan 40 individu negatif,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Beliau menambah kluster Numbak di Kota Kinabalu adalah kes indeks ke-22,036 yang dikenal pasti positif hasil saringan kemasukan ke wad di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Oktober.

Menurutnya, sejumlah 21 individu disaring, lapan kes dikesan positif dengan tiga kes baharu, tujuh negatif dan enam individu masih menunggu keputusan.

Bagi kluster Perigi di Klang, Selangor, Dr Noor Hisham menjelaskan kes indeks ke-18,667 diuji positif hasil saringan di tempat kerja pada 15 Oktober.

Katanya, daripada 124 individu disaring setakat ini, 39 kes didapati positif dengan satu kes baharu dan 85 individu masih menunggu keputusan.

Mengulas kluster Terapi di Kepong, Kuala Lumpur dan Alor Gajah, Melaka, beliau berkata kes indeks ke-36,180 dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 3 November dengan kesemuanya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga 12 tengah hari, sejumlah 126 individu disaring, 12 kes dikesan positif Covid-19 dengan satu kes baharu, lapan individu negatif dan 106 masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, kluster Padang di Kota Tinggi, Johor merupakan kes indeks ke-39,210 yang dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 5 November.

Katanya, saringan kontak rapat mengesan empat lagi kes positif dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Kluster Harmoni di Putrajaya pula didapati positif melalui saringan di tempat kerja kelmarin, namun kesemua mereka sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga 12 tengah hari, sejumlah 50 individu disaring, lima kes dikesan positif, 28 individu negatif dan selebihnya masih menunggu keputusan,” katanya.


Pengarang :