AGENDANASIONAL

EXCO: Lebih 9,000 individu hilang kerja setakat September

SHAH ALAM, 6 NOV: Seramai 9,423 individu di negeri ini diberhentikan kerja antara 1 Januari hingga 30 September lalu, kata EXCO pembangunan modal insan.

Mohd Khairuddin Othman berkata laporan oleh Jabatan Tenaga Kerja Selangor melibatkan 8,165 pekerja tempatan dan 1,258 pekerja asing.

Menurutnya, antara sektor terkesan ialah pembuatan, pembinaan, borong dan peruncitan, professional dan teknikal, penginapan, makanan serta pengangkutan.

“Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 berlanjutan hingga suku kedua 2020, berlaku pengurangan bilangan penduduk bekerja dalam tempoh tersebut.

Mohd Khairuddin Othman pada sesi soal jawab sempena sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 6 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bilangan penganggur pula naik kepada 161,300 orang pada kadar 4.6 peratus,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mohd Khairuddin berkata kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati majoriti penganggur berada dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun iaitu seramai 47,700 orang.

Menurutnya, ia diikuti penduduk berusia 25 hingga 34 tahun (35,600), 35 hingga 44 tahun (11,200) dan 45 tahun ke atas (8,900).

“Penganggur di bandar seramai 98,700 orang, manakala luar bandar berjumlah 4,700,” katanya lagi.

Mengikut pindaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 2019, minimum usia 13 tahun dibenarkan bekerja secara ringan tanpa mendatangkan bahaya, keburukan dan menjejaskan persekolahan.


Pengarang :