Mohd Khairuddin Othman berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Atlet Selangor antara Majlis Sukan Negeri Selangor dan Universiti Teknologi Mara di Shah Alam pada 7 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Peruntukan tepat untuk pembangunan sukan negeri

SHAH ALAM, 1 NOV: Peruntukan pembangunan sukan berjumlah RM27.9 juta tepat pada masanya ketika kontinjen Selangor membuat persediaan ke Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun hadapan.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata kemudahan itu akan menambah baik segala program dirancang dan diyakini Selangor mampu meneruskan kecemerlangan pada temasya dwi tahunan itu walaupun berdepan cabaran susulan penularan Covid-19.

“Peruntukan diberikan Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2021 amat sesuai pada saat kita bersiap untuk ke Sukma dan ia juga membolehkan proses menaik taraf kemudahan atlet dilaksanakan.

“Rekod (Sukma) Selangor sebelum ini adalah di tangga tiga teratas dan kita yakin ia mampu dikekalkan pada kejohanan itu nanti,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan pihaknya juga akan terus mengembangkan potensi e-Sukan dengan peruntukan RM3 juta tahun hadapan meliputi pemberian latihan dan bimbingan untuk golongan muda memasuki industri tersebut.

Sebelum ini, Selangor muncul negeri pertama menganjurkan Permainan Siber Selangor (SCG), termasuk versi duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menerima sambutan mengalakkan.

Selain itu, RM2 juta diperuntuk bagi meneruskan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) untuk membantu kira-kira 3,000 belia mencari pendapatan atau kerjaya baharu sebagai penunggang motosikal dalam perkhidmatan e-panggilan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.83 juta dalam usaha untuk memartabatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) serta sumbangan 20 juta kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) adalah dari peruntukan Kerajaan Negeri, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


Pengarang :