Kolej Kediaman Bestari Jaya (KKBJ) Unisel berkeluasan sekitar 50 ekar mempunyai sembilan kluster kolej yang menempatkan 44 blok kediaman dengan 842 unit. Foto Facebook Unisel
AGENSISELANGOR

Fasiliti Kolej Kediaman Unisel Bestari Jaya lengkap, jamin keselesaan pelajar

SHAH ALAM, 8 NOV: Universiti Selangor (Unisel) menyediakan pelbagai fasiliti lengkap di Kolej Kediaman Kampus Bestari Jaya (KKBJ) bagi menjamin keselesaan pelajar, kata pengarah komunikasi korporatnya.

Hasril Abu Hassan berkata KKBJ berkonsepkan apartment tiga bilik dilengkapi kemudahan seperti dua bilik air, satu ruang tamu yang luas, dapur dan ruang ampaian bagi setiap unit.

Menurutnya institusi tersebut juga menyediakan sukan gelanggang futsal, sepak takraw, bola tampar, badminton dan gimnasium bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penuntut.

“Kemudahan seperti kafeteria, mesin teler automatik (ATM), perkhidmatan dobi dan pasar mini tersedia bagi memudahkan urusan seharian pelajar.

Kemudahan lengkap disediakan di Kolej Kediaman Bestari Jaya (KKBJ) memberi keselesaan kepada pelajar. Foto Facebook Unisel

“Pihak pengurusan universiti juga membangunkan laluan pejalan kaki berbumbung kepada pengguna dari asrama untuk ke destinasi lain seperti fakulti, perpustakaan dan masjid,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah sebanyak 200 unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar kampus sebagai pengawasan dan keselamatan untuk warga Unisel terutama mahasiswa.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang keselamatan anak mereka kerana kami menyediakan kawalan pengawal keselamatan 24 jam di pintu masuk utama asrama dan Felo residen yang bertugas setiap masa bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga,” katanya.

Berkeluasan sekitar 50 ekar, KKBJ mempunyai sembilan kluster kolej yang menempatkan 44 blok kediaman dengan 842 unit, 2,442 bilik dan 5,167 katil.


Pengarang :