Keadaan Jeti Telok Gong, Klang yang dinaiki air laut berikutan fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan sekitar jam 5.45 pagi pada 15 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Fenomena air laut pasang besar di Selangor terkawal, tiada banjir – UPBN

SHAH ALAM, 15 NOV: Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor hari ini adalah terkawal dan tiada limpahan besar air sehingga mengakibatkan kejadian banjir dilaporkan.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir dalam kenyataan hari ini berkata jalan persekutuan berhampiran Pasaraya Mustafa dan Lorong Yunus, Sungai Sembilan di Kuala Selangor dilaporkan dinaiki air sekitar 5.44 pagi dan mula surut kira-kira jam 7 pagi.

Sementara di kawasan Bagan Pasir Tanjung Karang, jeti nelayan Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Bagan Sungai Kajang, Kampung Tok Adam, Ikan Bakar Pantai Jeram, Bagan Pasir Penambang dan Bagan Sungai Janggut dalam daerah yang sama, hanya mengalami sedikit limpahan kecil air melepasi ban atau benteng.

Muhammad Izzat Haziq berkata ban Kampung Sungai Janggut di Kuala Selangor juga telah selesai dibaik pulih Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi persediaan menghadapi fenomena air laut pasang besar.

Katanya beberapa kawasan di daerah Klang turut dinaiki air dalam tempoh masa yang sama, antaranya Pengkalan Nelayan Kampung Sementa; Jalan Banting Pandamaran; Pengkalan Sungai Udang, Kampung Baru Telok Gong; Kampung Tradisi; Kampung Pendamar dan Kampung Perajurit, Telok Gong.

“Turut dinaiki air ialah Taman Telok Gedong Indah, Pelabuhan Klang; Jeti Sungai Udang; Kampung Baru, Telok Gong; Taman Selat Damai Pandamaran, Pelabuhan Klang; dan Kampung Sungai Kembung, Pulau Indah, namun keadaan itu sudah kembali reda.

“Hari ini, hanya ada limpahan kecil air (berhampiran pantai) dan tiada kes yang melibatkan kawasan penempatan penduduk di kesemua kawasan sekitar daerah Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang,” katanya.

Fenomena air laut pasang besar sebelum ini diramal akan melanda lima daerah pesisir pantai itu sehingga esok.

-BERNAMA

 


Pengarang :