Gelagat seorang kanak-kanak bersama ibunya ketika menunggu giliran untuk saringan Covid-19 bagi penumpang yang tiba dari Sabah di Hospital Labuan pada 26 September 2020. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Fikirlah: Genggam erat ‘kita jaga kita’ juga untuk bekas pesakit Covid-19

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 19 NOV: Slogan ‘Kita Jaga Kita’ sering diucap dan dikongsi masyarakat terutama di media sosial bagi mengukuhkan kebersatuan kita memerangi Covid-19.

Namun, sejauh mana ia terpakai dalam usaha masyarakat membantu bekas pesakit Covid-19 terutama daripada segi mental?

Ketika slogan ‘Kita Jaga Kita’ bergema dengan peringatan memakai pelitup muka, menggunakan cecair pencuci tangan atau lakukan penjarakan sosial, masyarakat seharusnya juga sedar bahawa ‘Kita Jaga Kita’ perlu diamalkan untuk memberi sokongan kepada bekas pesakit Covid-19 meneruskan kehidupan mereka.

Masyarakat perlu faham, mereka yang sudah disahkan bebas daripada virus Covid-19 dalam tubuh mereka tidak menjangkiti penyakit itu kepada orang lain, justeru, mengapa masih takut? Mengapa masih menyisihkan mereka?

“Stigma negatif masyarakat sekeliling terhadap bekas pesakit Covid-19 lebih memeritkan daripada kesakitan dibawa Covid-19 itu sendiri.” Demikian luahan hati bekas pesakit Covid-19, yang hanya ingin dikenali sebagai Zulaika, 37.

Sebenarnya bukan mudah untuk saya menemu bual beliau yang bertugas sebagai seorang pensyarah di Kota Kinabalu. Pelbagai janji perlu saya tunaikan termasuk tidak mengambil gambar, tidak menyiarkan nama sebenar dan tidak memberitahu lokasi kediamannya.

Stigma tidak bernoktah

Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS

Setelah dipujuk dengan bantuan rakan saya, Zulaika setuju ditemubual serta mengundang saya ke kediamannya yang terletak sekitar sejam jam daripada pejabat saya. Beliau tinggal di sebuah pekan kecil dan saya ke sana dengan menunggang motorsikal.

Semuanya bermula sekitar awal bulan Oktober, apabila beliau disahkan positif Covid-19. Beliau ada mengalami simptom demam, kehilangan selera makan mendadak dan dipercayai dijangkiti salah seorang pelajarnya. Tinggal dalam komuniti pekan kecil, memudahkan masyarakat mengetahui siapa yang dijangkiti Covid-19.

“Mulanya ada perkongsian dalam Whatsapp group pekan ini kata ada beberapa dijangkiti, tidak sampai sehari ramai sudah tahu siapa. Saya faham mereka ambil langkah berjaga-jaga apabila saya dijangkiti tetapi layanan mereka masih juga sama walaupun saya disahkan pulih dan pulang ke rumah.

“Suami dan anak-anak yang bebas Covid-19 juga terima layanan sama. Keluarga kami disisihkan dan dipandang serong bila ke pekan kerana dalam komuniti kecil ini semua kenal antara satu sama lain. Masuk kedai beli barang jangan cerita lah, ada pelanggan cepat-cepat keluar bila nampak kami masuk,” katanya.

Zulaika juga menghadapi situasi sama di tempat kerja, antaranya ada ibu bapa meluahkan kerisauan beliau mengajar anak mereka selain sikap segelintir rakan petugas yang masih memandang serong terhadapnya.

Cerita Zulaika ini bukan asing kepada saya yang membuat liputan berita dalam keadaan Covid-19 merobek negara. Saya pernah melihat sendiri seorang bekas pesakit yang secara ikhlas berkongsi pengalamannya dalam media sosial tetapi disambut komen-komen yang menyindir.

Zulaika mengakui terguris membaca satu komen yang tular dalam media sosial memperlekeh golongan guru dengan menyuruh mereka melakukan ujian saringan bersama petugas barisan hadapan apabila sekolah ditutup.

Sedarkah mereka siapa yang mereka sindir itu? Sedarkah mereka bahawa warga pendidik seperti Zulaika sendiri berjasa besar memberikan ilmu kepada anak bangsa walau berdepan apa sahaja cabaran dan melakukan pelbagai cara dalam kekangan Covid-19 bagi memastikan pelajarnya tidak ketinggalan.

Tidak mengenal siapa

Saya sempat bertanya kepada Zulaika tentang pelajar yang menjangkiti beliau.

Pertanyaan saya ini dijawab dengan nada agak marah kerana sebagai seorang pendidik, beliau tidak akan sama sekali menyalahkan pelajarnya walaupun diri serta keluarganya berdepan stigma masyarakat tidak bernoktah itu.

Khemah didirikan diluar bangunan Hospital Queen Elizabeth bagi menampung jumlah peningkatan kes Covid-19 di Sabah yang mencatatkan peningkatan mendadak. Selain Hospital Queen Elizabeth, terdapat enam lagi hospital diperuntuk merawat pesakit Covid-19 iaitu Hospital Kota Marudu; Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kota Kinabalu; Hospital Duchess of Kent di Sandakan; Hospital Tawau; Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau. FOTO: BERNAMA

“Sampai bila kita mahu salahkan orang lain. Jika kita menyalahkan dan menuding jari, semua ini tidak membantu. Sepatutnya pada masa sukar ini, semua orang perlu bersatu sebagai sebuah keluarga,” katanya.

Zulaika bertanya kepada saya adakah Covid-19 ini pandai memilih mereka untuk dijangkiti?.

Mengakui ketika berada di pusat kuarantin, beliau pernah menyoal mengapa dia, bukan orang lain yang dijangkiti. Namun, pantas beliau menyedari bahawa melayan perasaan sebegitu tidak akan membantu dirinya untuk segera pulih.

Suatu perkara yang perlu masyarakat sedar ialah Covid-19 boleh menjangkiti sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang, status kehidupan, warna kulit mahu pun agama yang dianuti. Covid-19 tidak memilih mangsanya!

Masyarakat perlu sedar bahawa mereka yang dijangkiti Covid-19 ini bukan secara sukarela apatah lagi mahu membahayakan keluarga mereka, justeru, tidak adil bagi kita ‘menjatuhkan hukuman’ kepada mereka dengan ‘kaca mata stigma’.

Sabah jaga Sabah

Sebagai seorang yang berasal dari Batu Pahat, Johor, semangat jati diri ‘Bangsa Johor’ bermaksud rakyat Johor sentiasa menjaga rakan senegeri mereka tanpa mengira latarbelakang sentiasa tersemat dalam hati saya. Perasaan sama saya rasai apabila berada di Negeri di Bawah Bayu ini.

Zulaika bersyukur apabila beberapa anggota masyarakat terdiri daripada warga emas dan dewasa sekitar umur 30-an dan 40-an, sentiasa memberikan sokongan dan membantu keluarganya seperti semangat ‘Sabah Jaga Sabah’ yang diterap masyarakat negeri ini sejak sekian lama.

Pernah juga Zulaika terfikir untuk berpindah keluar daripada pekan kecil itu kerana kecewa dengan sikap segelintir anggota masyarakat terhadap diri serta keluarganya. Syukurlah, masih ada yang memberi sokongan untuk beliau tidak meneruskan hasratnya itu.

“Walaupun kamu orang Johor tetap kami jaga juga kerana sudah tinggal sini, jadi orang Sabah sudah. Tetapi saya kesal melihat generasi muda kita sudah lupa dengan budaya kita warisi turun temurun ini apabila ramai yang masih mempunyai stigma terhadap bekas pesakit Covid-19 di negeri ini.

“Lihat saja di media sosial, ramai yang menyindir dan memandang mudah isu ini. Majoritinya terdiri daripada golongan muda, tetapi kita tidak boleh berkeras dengan anak muda ini, kena nasihat dan dekati dengan cara lembut seperti cara orang Sabah juga,” katanya.

Petugas kesihatan yang lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) berada di dalam khemah pengambilan sampel bagi proses ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai yang hadir membuat ujian saringan bersasar ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan, pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Mengakhiri temu bual dengan Zulaika, saya sempat mendoakan beliau dan keluarganya bebas daripada stigma orang di sekelilingnya disambut rasa syukur serta ucapan terima kasih daripadanya, tanpa saya sedari air mata saya tumpah mengenang cabaran yang terpaksa dihadapi beliau.

Menunggang motorsikal untuk pulang ke pejabat selepas temu bual itu, sekali lagi hati kecil saya berbisik, kita sebagai sebuah bangsa Malaysia telah menempuh pelbagai cabaran bersama, jangan sampai kita tumbang dalam menghadapi cabaran Covid-19 ini.

Genggam erat ‘Kita Jaga Kita’ dengan bukan hanya kita sendiri menjaga diri sendiri, tetapi kita menjaga semua rakyat Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :