Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan ketika Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, Ampang pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Fungsi Jasa bertindih, salurkan dana untuk rakyat

SHAH ALAM, 8 NOV: Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menerima peruntukan RM85.5 juta dilihat mempunyai fungsi sama dengan beberapa agensi sedia ada, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN.

Fahmi Fadzil berkata nilai berkenaan sepatutnya digunakan agensi lain antaranya Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) membeli peralatan baharu, menambah jawatan serta memperkukuhkan organisasi.

“Sekiranya kerajaan memahami keresahan rakyat, menteri komunikasi dan multimedia serta menteri kewangan perlu membatalkan cadangan mewujudkan semula Jasa.

“Belanjawan 2021 juga perlu dipinda dengan mengagihkan dana itu kepada program serta agensi sedia ada atau dibelanjakan untuk program lebih bermanfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata semua pihak mengetahui Jasa adalah unit propaganda politik parti pemerintah yang dahulunya digunakan bagi menyerang pembangkang.

“Sebagai perbandingan, jumlah ini boleh membina dua Klinik Kesihatan jenis 2 yang lengkap peralatan perubatan terkini serta mampu memberi khidmat kepada 500 hingga 800 pengunjung setiap hari.

“Ia juga boleh membina tiga bangunan sekolah dengan 24 bilik darjah atau dimasukkan ke dalam Tabung CERDIK bagi membeli 85,000 komputer riba tambahan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah yang tidak mampu mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” kata ahli parlimen Lembah Pantai.

Belanjawan 2021 dibentangkan Jumaat lalu oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM85.5 juta bagi menghidupkan semula jabatan berkenaan.

Bagaimanapun ia mengundang persoalan pelbagai pihak memandangkan pandemik Covid-19 memerlukan pengagihan peruntukan secara saksama, mengikut situasi semasa.


Pengarang :