Orang ramai perlu patuh tatacara operasi piawai dengan menggunakan pelitup muka dan penjarakan fizikal di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gagal patuhi penjarakan fizikal rekod salah tertinggi ingkar PKPP

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal antara kesalahan tertinggi direkodkan semalam membabitkan 206 daripada 455 individu yang dikenakan tindakan atas kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah individu yang dikenakan tindakan semalam, 427 daripada mereka dikenakan kompaun, 27 direman dan seorang dibebaskan dengan jaminan.

Kesalahan ingkar PKPP yang lain membabitkan 72 individu dalam aktiviti pusat hiburan, tidak memakai pelitup muka (63), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas negeri/daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran pihak berkuasa (21) dan lain-lain (34), katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan diambil hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata Operasi Benteng yang dilaksanakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan berjaya memberkas 28 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup, semalam.

“Sebanyak tiga kenderaan darat turut dirampas,” katanya dan menambah kata kejayaan itu hasil 306 sekatan jalan raya Operasi Benteng yang dilaksanakan melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 72,062 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, dan ditempatkan di 72 hotel serta 19 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 10,396 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 404 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 61,262 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 654 premis perniagaan termasuk 483 peruncit, 140 pemborong dan 31 pengilang.

Ismail Sabri berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 638 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi arahan ditetapkan.

Beliau, bagaimanapun menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

-BERNAMA


Pengarang :