BUDAYARENCANA

Generasi sonder

Oleh Siti Habibah Jasin

MELALUI ciapan bergambar penyair Karim Mohd, saya membaca suatu pusi berbentuk penyataan, seakan-akan sumpah Anak Alam. Pening saya dibuatnya. Kalau sebelum ini dia sibuk memuat naik video-video bacaan puisi ketika lewat malam atau menciap cuplikan-cuplikan puisi penyair luar, puisi Sumpah Sonder itu mendatangkan pertanyaan-pertanyaan kepada saya:

Apakah sonder? Adakah ia satu gerakan atau seruan dari beliau sendiri? Adakah ia merujuk kepada generasinya? Saya memerlukan penerangan lanjut. Tetapi sebelum itu biarlah saya meneka-neka dan menyatakan buah fikiran saya dalam tulisan ini.

Generasi penulis era kini saya fikir lebih beragam sifatnya daripada generasi ketika era letupan indie dahulu. Jika pada waktu tersebut, kebanyakan karya mereka lebih bersifat merata (mass approachable atau appeal to the mass), penulis era pascaindie ini ternyata lebih merenung ke dalam dan mengamati suasana luar dengan lebih teliti.

Ketelitian pengamatan dan seterusnya dicerna ke dalam takungan kefahaman telah menghasilkan reaksi yang cakna kepada kenyataan. Begitulah saya melihat karya-karya mereka. Segar dan kontemporari tetapi relevan menyerlahkan; wajah kotor politik atau pincang masyarakat di samping melihat ke dalam diri sama ada dari segi rohani atau kemanusiaan.

Tidak dapat tidak soal weltanschauung (pandangan alam) karya-karya mereka dan karya-karya lama dahulu ketara berbeza. Pada tahun-tahun 50-an dan 60-an, perdebatan “Seni untuk masyarakat” dan “Seni untuk seni” begitu dominan. Kemudian khalayak sastera didatangkan pula dengan wacana Sastera Islam. Pasca 2000 pula isu-isu di sekitar sastera seperti kurang hangat walaupun pada ketika itu muncul Azman Hussin dan Faisal Tehrani. Namun dalam masa yang sama, apabila disebut perkataan sastera, ramai sedar ia ada semacam ikatan halimunan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal ini bukanlah pelik kerana dari sana lahir ramai sasterawan besar tanah air.

Tetapi lama-kelamaan beban kelesuan dalam dunia sastera itu semakin memberat di bahu DBP. Entah salah siapa. Jalan lain menuju kesegaran semula adalah dengan meninggalkan dunia kelesuan itu. Hal ini boleh kita dapati, misalnya dari penerbitan karya-karya sastera oleh DBP sendiri; bilakah kali terakhir mereka menerbitkan kumpulan puisi yang sedap dibaca?

Bebas ikatan

Generasi sekarang berlepas dari ikatan atau autoriti mana-mana pihak. Atau kerana mereka mengenali DBP versi Komsas yang membosankan. Wajah sastera yang baharu ini digeluti anak-anak muda yang tidak pedulikan pengiktirafan hadiah sastera, siaran di akhbar atau majalah, atau perhatian daripada sasterawan-sasterawan mapan. Mereka berkarya kerana mereka sedar mereka perlu berkarya.

Desakan luar dan dalam dilihat sebagai pemacu utama semangat mereka. Ini sikap yang baik kerana darinya karya-karya yang kuat dan monumental tercipta. Penyair-penyair seperti Petak Daud, Hidayu Hatta dan Lucy M misalnya, melontarkan kritikan sosial yang cukup keras tetapi dengan gubahan bahasa indah. Maka tidak benar jika ada cakap-cakap mengatakan penyair baharu tidak sensitif terhadap keadaan semasa.

Karya-karya penyair baharu lain seperti Syaheeda Hamdani, Qurratul ‘Ain dan Karim Mohd pula dilihat lebih banyak merenung ke dalam diri untuk mencari sesuatu dan sesuatu itu bagaikan diletak tugas pencariannya kepada pembaca pula. Karya mereka lebih bertekstur tetapi dalam masa yang sama berotot untuk mencengkam perhatian pembaca. Proses perenungan ke dalam diri pada suatu ketika akan menatijahkan sikap empati yang tinggi terhadap kompleksiti hidup yang dihadapi oleh orang di sekelilingnya. Hal ini sekali gus menghampiri konotasi sonder itu; serius terhadap diri dan sekitarnya. Barangkali inilah sumpah sondernya.

Walaupun dalam keragaman bentuk karya, saya masih dapat menerka titik temu antara karya-karya mereka. Cerpen-cerpen Azrin Fauzi, Syafiq Ghazali, Clariessa Kesulai atau Fariq Khir sangat berbeza. Dalam perbezaan ini mereka memberikan ruang kepada objek dan perasaan dengan lebih kemas dan selitan humor. Juga ada sisi noir yang diteroka dan pengalaman hidup yang ditempa dengan sangat baik lewat cerpen-cerpen Syafiq Ghazali atau Johan Radzi.

Saya katakan, cerpen mereka lebih berjaya memerah keluar intisari kehidupan ketimbang cerpen-cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Perdana, misalnya. Kerana mereka percaya kepada ketulenan budaya penulisan itu sendiri tanpa sebarang tirai moral yang menyesakkan dada pembaca. Tirai-tirai inilah yang merencatkan kreativiti. Tiada penerokaan hal baharu jika ia masih menghalang pandangan penulis atau pembaca.

Saya teringat kepada esei SM Zakir yang menyebut generasi penulis sekarang adalah generasi sastera era transisi. Pergerakan dari fasa ‘indie’ kepada keadaan sekarang ini bukanlah berlaku secara tiba-tiba. Kebanyakan penulis ini telah membaca karya-karya pada zaman indie tersebut, malah membaca jauh daripada itu. Justeru mereka tetap menghargai apa-apa karya yang baik yang dihasilkan oleh sesiapa pun.

Naratif jitu

Dan simpulan daripada pembacaan cermat, mereka tahu mereka seharusnya menghasilkan karya yang berbeza dengan bahasa baru dan naratif yang lebih jitu tanpa mengesampingkan kelunakan penampilan isinya. Dan dunia media sosial yang gencar sangat membantu pengkarya-pengkarya ini untuk tumbuh subur. Kepantasan interaksi sebenar di antara penulis dan pembacanya yang rencam memberi pelbagai tafsiran terhadap suatu-suatu karya itu. Kritikan lebih terbuka dan pujian juga tampaknya dikenakan pada tempatnya.

Sonder adalah perkataan Belanda yang diserap ke dalam Bahasa Indonesia. Ia bermaksud “tanpa”. Pertama kali saya menemukannya adalah dalam sajak Chairil Anwar; ‘mengenali gurun, sonder ketemu, sonder mendarat/ – the only possible non-stop flight/tidak mendapat.’

Baha Zain juga pernah menggunakannya dalam sajak Penyair 69 yang terbit dalam kumpulan puisi sulungnya, Perempuan dan Bayang-bayang. Namun, selepas itu tidak ramai yang menggunakannya. Dalam pengertian Inggeris, sonder bermaksud kesedaran bahawa setiap pelintas jalan di hadapan kita menjalani kehidupan yang rumit seperti kita sendiri. Sama ada sonder berasal dari bahasa Belanda atau Inggeris, saya menyimpulkan kedua-dua pengertiannya menepati sifat dan sikap penulis generasi kini.

 

 

 


Pengarang :