EXCO Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Giat usaha bantu penduduk luar bandar miliki rumah – EXCO

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menggiatkan usaha membantu penduduk luar bandar memiliki kediaman sendiri.

EXCO perumahan berkata antara yang dilaksanakan termasuk memaklumkan pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) berhubung unit Rumah Selangorku yang belum terjual.

Rodziah Ismail berkata langkah itu membolehkan wakil rakyat memanjangkan maklumat tersebut kepada penduduk setempat seterusnya membolehkan mereka membeli rumah berkenaan.

“Antara usaha lain ialah mengadakan program penawaran Rumah Selangorku secara terbuka berdasarkan merit bagi mempercepatkan urusan pembelian rumah.

“Pada masa sama, promosi menerusi media cetak dan elektronik juga sedang digiatkan,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADN Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM20 juta bagi Program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera.

Insentif lain ialah pengenalan Smart Sewa to Ownership (2STAY) untuk membantu golongan B40 dan individu sukar mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah pertama.

Program 2STAY itu membabitkan Rumah Selangorku diperoleh daripada unit kontra percuma di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.


Pengarang :