Seorang pengunjung melihat replika Covid-19 pada Ekspo Kesihatan Dunia di Wuhan, China pada 11 November 2020. Foto AFP
AGENDAEKONOMIGLOBAL

Global berdepan dilema pilih kesihatan atau ekonomi dua tahun lagi – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Negara-negara di seluruh dunia akan terus mengalami dilema untuk memilih sama ada kesihatan atau ekonomi bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi, walaupun sesudah vaksin Covid-19 ditemui, kata Pengarah Urusan Pembangunan, Dasar dan Perkongsian Bank Dunia Mari Pangestu.

Ini bermakna negara-negara masih perlu melakukan tiga ‘T” iaitu ‘testing’ (ujian), ‘tracing’ (mengesan) dan ‘treatment’ (rawatan), di samping mendapatkan data yang baik bagi memastikan ia dapat memantau rakyat dan mencegah daripada berlakunya gelombang jangkitan kedua atau ketiga.

“Tanpa dapat menanganinya, anda tidak boleh melakukan aktiviti dengan selamat, sama ada sekolah, perniagaan, perjalanan dan sebagainya. Jadi ia perlu dilakukan dengan protokol ini, dan saya fikir Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) boleh memainkan peranan penting dalam perkara ini, sebagai contoh seperti kad perniagaan APEC, yang merupakan satu kejayaan bagi komuniti perniagaan.

“Oleh itu, apabila kita mendapat vaksin, ia akan seperti ‘kad kuning’ mengetahui bahawa anda telah diberi vaksin, dan kita boleh mula beroperasi dengan selamat, melakukan dagangan dengan selamat dan bekerja dengan selamat,” katanya dalam sesi bertajuk “Asia Pacific’s Time” semasa acara Dialog CEO APEC 2020 yang diadakan secara maya, hari ini.

Sementara itu, Mari berkata, walaupun vaksin ditemui, ia dijangka sampai ke negara maju terlebih dahulu, dan negara membangun perlu memastikan mereka juga mendapat akses yang adil dan saksama di samping memastikan ekonomi turut dapat dipulihkan.

Menurutnya, selain normal baharu bekerja dari rumah, akan turut muncul golongan miskin dan rentan baharu dalam kumpulan berpendapatan M40 dan B40, ketika dunia dilanda kemelesetan besar.

Ini, katanya, akan menjejaskan golongan wanita terutamanya yang tidak dapat mencari kerja dan kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik, apatah lagi kepada pendidikan atau malahan pendidikan secara dalam talian.

“Walaupun ada banyak lagi isu-isu, kerajaan atau sistem adalah penyelamat atau pilihan terakhir, sama ada bagi mata pencarian, syarikat atau ekonomi; dan ia adalah satu tugas yang amat besar…dan kerajaan akan menanggung beban hutang, walaupun dalam kerajaan yang diurus dengan baik yang anda tahu sebelum ini

“Jadi amat mustahak kepada kerajaan untuk mengawal trajektori penularan…dan jangan hanya berharap kepada vaksin semata-mata kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkannya serta untuk diberi vaksin.

“Ambil peluang untuk menambah baik sistem anda agar jika berlaku gelombang ketiga atau keempat atau muncul virus baharu, anda telahpun mempunyai sistem yang berdaya tahan bagi masa depan,” kata Mari.

-BERNAMA

 


Pengarang :