BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Guna pengaruh selebriti beri kesedaran isu keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 21 NOV: Jawatankuasa Penyelarasan Isu Keganasan Rumah Tangga bercadang menampilkan selebriti media sosial untuk memberi mesej kesedaran kepada orang ramai.

EXCO Pembangunan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah itu selaras matlamat penubuhan jawatankuasa tersebut bagi mengatasi masalah keganasan yang semakin membimbangkan.

“Kita buat banyak seminar, ada sasaran tetapi hendak dapat sokongan orang ramai agak sukar. Jadi kita tidak boleh lari untuk gunakan seorang dua selebriti TikTok atau YouTube.

“Kita akan berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya selepas sidang meja bulat berhubung keganasan rumah tangga secara maya semalam.

Dr Siti Mariah berkata jawatankuasa tersebut mungkin tidak dapat melaksanakan semua pelan tindakan dicadangkan, namun kapasiti tertentu dan penting akan dibuat.

“Kita akan pastikan ada kesinambungan dari tahun ke tahun selain melihat keberkesanan penubuhannya,” katanya lagi.

Jawatankuasa Penyelarasan Isu Keganasan Rumah Tangga berfungsi sebagai kumpulan pemikir yang akan membuat perancangan dan pelan tindakan khusus melalui kerjasama strategik.

Dianggotai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan Negeri, ia ditubuhkan susulan peningkatan 80 peratus kes keganasan rumah tangga antara Januari hingga Oktober tahun ini.


Pengarang :