AGENSISELANGOR

Guru Kafa hargai usaha Kerajaan Negeri beri caruman Perkeso

SHAH ALAM, 27 NOV: Langkah Kerajaan Negeri membangunkan pendidikan Islam secara konsisten dan membela kebajikan guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) dipuji meskipun berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Guru Kafa Selangor menzahirkan penghargaan terhadap pimpinan Dato’ Menteri Besar berhubung pengumuman RM1.1 juta caruman majikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada mereka.

“Kami berterima kasih di atas pembentangan belanjawan yang terus membela kebajikan kami. Ini adalah hadiah yang sudah lama dinantikan dan Dato’ Seri memberikan di saat kami memerlukannya.

“Malah, peruntukan untuk Latihan Pembangunan Profesionalisme sebagai pendidik juga terus diberi membuatkan kami lebih sedar tanggungjawab dan lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas dan amanah,” kata Suhaimi Mahmud dalam kenyataan.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM1.1 juta caruman majikan Perkeso yang akan memanfaatkan seramai 4,200 guru Kafa di Selangor.

Selain itu, sejumlah RM377.77 juta disediakan termasuk mengurus dan membangunkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memantapkan institusi Islam di negeri ini.


Pengarang :