Peserta yang dijemput sahaja dibenarkan menghadiri sesi temu duga ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 22 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hantar 100 permohonan, tidak putus asa cari kerja

SUNGAI BULOH, 22 NOV: Hilang punca pendapatan hampir lapan bulan lalu susulan pandemik Covid-19 memaksa Azizi Arbain menghantar lebih 100 permohonan kerja.

Dia yang tidak berputus asa pernah menghadiri lebih 10 sesi temu duga sebelum ini, namun akur tuah belum memihak kepadanya.

Pemuda berusia 25 tahun itu kemudian mencuba nasib dengan menyertai program Jelajah Selangor Bekerja 2020 dan berharap diterima secepat mungkin.

Azizi Arbain, 25, ditemui Media Selangor selepas sesi temu duga ketika program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 22 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya pernah berkhidmat sebagai jurutera penyelidik di sebuah syarikat swasta secara kontrak, namun kurang bernasib baik kerana (kontrak) tidak disambung susulan Covid-19.

“Justeru, saya berharap program ini membantu individu yang kehilangan kerja dan sedang mencari peluang baharu,” katanya ditemui pada program tersebut di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Saujana Utama.

Seorang lagi peserta Ahmad Azrai Bohari, 42, menyambut baik program tersebut yang memberi peluang kepada golongan terjejas mencari pengalaman dan sumber pendapatan baharu.

Meskipun memiliki pekerjaan tetap sebagai akauntan hampir 25 tahun, dia enggan melepaskan peluang untuk mencari pengalaman baharu bersama syarikat lain.

Ahmad Azrai Bohari, 42, ditemui Media Selangor selepas sesi temu duga ketika program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 22 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya mahu melihat potensi baharu walaupun bidang saya (perakaunan) tidak terjejas teruk di sebalik kejatuhan harga minyak dan gas serta pandemik Covid-19.

“Saya percaya program ini dapat membantu golongan terkesan dan peluang pekerjaan ditawarkan perlu dimanfaat sepenuhnya oleh peserta yang berjaya,” katanya.


Pengarang :