Tanah runtuh di Bukit Kimanis Sabah memusnahkan dua rumah berikutan hujan lebat pada 10 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hujan berterusan dorong tanah runtuh, waspada tanda awal – pakar

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Hujan dilihat antara faktor dominan di kawasan iklim bertropika lembap yang mendorong berlakunya kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan lereng dan cerun tinggi di negara ini.

Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM) Prof Emeritus Ibrahim Komoo berkata hujan lebat yang berterusan dalam tempoh beberapa hari akan menjadikan cerun tepu air, lembap dan lemah.

“Situasi ini akan menyebabkan struktur tanah lemah, mencetus pergerakan sehingga menyebabkan kejadian runtuhan tanah seperti yang berlaku di Sabah dan Perak…kita lihat tragedi ini berlaku akibat hujan lebat berterusan pada cerun berisiko tinggi,’’ katanya kepada Bernama di sini.

Malaysia kini berada pada fasa awal Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat signifikan, lazimnya boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

Hujan lebat yang melanda beberapa negeri sejak pagi semalam dikenal pasti menyebabkan kejadian tanah runtuh melibatkan sebuah resort peranginan di Tambun, Perak yang mengakibatkan dua penghuni resort tertimbus, manakala kejadian di Kimanis, Sabah memusnahkan dua rumah namun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Ibrahim berkata setiap cerun berisiko mengalami pergerakan tanah dan kejadian lazimnya tercetus selepas hujan turun berterusan.

“Setiap cerun berisiko (berlaku tanah runtuh) dan mempunyai tanda-tanda awal rekahan permukaan apabila gerakan tanah mula berlaku…keadaan ini hanya menunggu faktor pencetus (hujan) untuk menyebabkan runtuhan. Tanda-tanda ini boleh dilihat dan sistem amaran awal boleh digunakan pihak berkuasa untuk memberi amaran kepada orang awam,” katanya.

Pandangan serupa dikongsi Pakar Geologi dan Geosains Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah yang menyatakan kejadian tanah runtuh boleh berlaku apabila hujan berpanjangan turun di satu-satu kawasan.

“Apabila memasuki November dan Disember (Monsun Timur Laut) memang tidak dinafikan kejadian tanah runtuh boleh berlaku, ini disebabkan oleh hujan berpanjangan di satu-satu kawasan yang menyebabkan tanah menjadi tepu air dan tanah yang berjuram akan menggelongsor,” katanya.

Azizan berkata orang ramai hendaklah mengelakkan diri dan tidak berada di kawasan bercerun apabila terjadinya rekahan jalan yang menunjukkan tanda awal berlaku pergerakan tanah.

“Selain rekahan jalan, selalunya ada tanda-tanda seperti pokok di sekitar kawasan cerun mula condong, ini adalah tanda awal pergerakan tanah yang boleh membawa kepada kejadian tanah runtuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Jailan Simon berkata semua pihak harus mengambil langkah berwaspada dan berjaga-jaga dengan fasa awal Monsun Timur Laut yang berlaku sepanjang November sehingga Disember ini.

Beliau berkata hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari bukan sahaja boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah tetapi juga mendorong gelongsoran tanah apabila keadaan tanah menjadi lembap di kawasan bercerun.

“Jadi kita nasihatkan semua pihak termasuk orang ramai agar bersiap sedia dengan segala kemungkinan ini, dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan MET Malaysia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :