EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail (kiri) bergambar bersama selepas menyerahkan Geran Peralatan SITHAM kepada Juliana Francis (tengah) turut sama Pengurus Koperasi Wisma Kohijrah, Mohammad Shukri Ismail di Seksyen 20, Shah Alam pada 18 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Ibu tunggal terima alat menjahit, sedia ambil lebih banyak tempahan

SHAH ALAM, 19 NOV: Seorang ibu tunggal terharu apabila menerima bantuan peralatan menjahit bernilai lebih RM7,000 dari Kerajaan Negeri semalam.

Bantuan berkenaan diserahkan EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail menerusi program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) di rumahnya dekat Flat PKNS Seksyen 20, di sini.

Menurut Juliana Francis, 55, sumbangan itu akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menambah pendapatan.

“Saya mula serius menerima tempahan jahitan setelah kematian suami sejak 25 tahun yang lalu.

“Dengan bantuan ini saya bertekad untuk mengupah lebih ramai pekerja dan mengambil lebih banyak tempahan selepas ini,” katanya kepada SelangorKini.

Menerusi bantuan itu, Juliana menerima tiga mesin jahit dan seterika.

Pada 13 November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri meluluskan 175 permohonan geran peralatan bagi program Sitham fasa pertama tahun ini membabitkan peruntukan RM557,991.66.

Pemberian peralatan dengan nilai maksimum RM10,000 bagi setiap permohonan yang layak membantu usahawan memajukan perniagaan mereka.


Pengarang :