AGENDANASIONAL

Ingkar PKPB, 19 individu anjur parti persendirian ditahan

SERDANG, 28 NOV: Seramai 11 wanita warga asing dan 8 lelaki tempatan ditahan, kerana disyaki terlibat dalam parti persendirian di sebuah premis spa di Taman Serdang Perdana, di sini, awal pagi tadi.

Kesemua mereka yang ditahan dalam serbuan berakhir 2.30 pagi tadi berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dan ditemui ketika bersembunyi di dalam sebuah bilik rahsia di dalam premis berkenaan, yang dipercayai tidak lagi beroperasi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata premis berkenaan dalam keadaan gelap ketika pihaknya tiba, dipercayai disebabkan fius elektrik lebih awal telah dicabut bagi memudahkan mereka melarikan diri melalui sebuah lubang di dinding berkenaan, yang membawa kepada bilik rahsia berkenaan.

“Pasukan yang membuat serbuan pada mulanya tidak menemui suspek, tetapi disebabkan bunyi percakapan mereka, polis menemui pintu rahsia yang membawa kepada mereka yang bersembunyi di bahagian bawah tangga,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di sini, pagi ini

Beliau berkata polis turut menemui sejumlah kondom dan minuman keras yang masih sejuk, dipercayai digunakan semasa parti persendirian itu.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 39(b)Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka yang ditahan turut akan dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :