Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berpakaian sut PPE melakukan pemeriksaan bagi memastikan setiap penghuni menjalani saringan Covid-19 susulan pelaksanaan PKPD berkuat kuasa 28 Oktober di Plaza Hentian Kajang ketika tinjauan pada 1 November 2020. Foto Bernama
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ismail Sabri: PKPD Plaza Hentian Kajang lanjut dua minggu

SHAH ALAM, 9 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang yang dijadual berakhir esok dilanjutkan 14 hari lagi, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan terbabit.

“Sehubungan itu atas nasihat KKM, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melanjutkan PKPD di Plaza Hentian Kajang selama 14 hari bermula 11 hingga 24 November,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau juga memaklumkan PKPD di Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 Kuala Langat yang berkuat kuasa sejak 28 Oktober lalu ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Menurutnya, keputusan diambil selepas mendapati tiada kes positif Covid-19 baharu dilaporkan di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 1,024 saringan dilaksanakan. Daripada jumlah ini, seramai 992 disahkan negatif manakala 32 orang positif dan sudah menerima rawatan,” katanya.


Pengarang :