AGENDANASIONAL

Isu Akta Antiberita Tidak Benar dibangkitkan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Persoalan sama ada Akta Antiberita Tidak Benar yang telah dimansuhkan akan dikembalikan semula antara yang ditimbulkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun memaklumkan bahawa sebarang berita palsu, laporan palsu dan penyalahgunaan media sosial akan didakwa melalui undang-undang sedia ada.

Undang-undang ini termasuk Kanun Keseksaan [Akta 574]; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]; dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Ini katanya selepas Akta Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2020 [Akta 825] diwartakan pada 30 Jan lepas.

Soalan itu diajukan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) pada sesi soal jawab yang turut mahu tahu mekanisme Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam membendung masalah penyebaran berita palsu terutama berkaitan Covid-19.

Jawapan Saifuddin dibaca oleh Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Dr Mah Hang Soon selepas Saifuddin dimaklumkan malam tadi bahawa beliau tidak dibenar memasuki dewan kerana menjalani ujian calitan awal beberapa hari daripada jadual yang ditetapkan Parlimen.

Keputusan ujian Saifuddin adalah negatif, manakala Timbalan Menteri Datuk Zahidi Zainul Abidin pula tidak dapat hadir kerana mempunyai janji temu berjadual bersama doktor.

Mengenai mekanisme, Saifuddin berkata kementerian melalui agensi-agensinya seperti RTM, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberikan maklumat tepat dan tulen mengenai dasar-dasar kerajaan secara berterusan melalui platform masing-masing.

Katanya, kerajaan juga melaksanakan Program Info On Wheels (IOW), kempen melalui publisiti bercetak dan elektronik termasuk melalui paparan elektronik (skrin digital) dan pengedaran risalah mengenai Covid-19 dalam usaha menangkis penyebaran berita palsu.

“Lebih satu juta risalah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Iban dan Kadazan telah disediakan berkaitan Covid-19,” katanya.

Saifuddin berkata kerajaan turut menangkis penyebaran berita palsu melalui perkongsian maklumat sahih menerusi semua media sosial rasmi kementerian dan hingga kini sebanyak 987 hantaran menggunakan maklumat daripada Kementerian Kesihatan, RTM dan Bernama telah dikongsi.

– BERNAMA


Pengarang :