Hee Loy Sian (dua, kanan) meninjau pam yang menyedut air dari Tasik Idaman, Sungai Buah ke Sungai Semenyih di Dengkil, Sepang pada 5 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jabatan Alam Sekitar Selangor keluar 106 kompaun cemar sungai

SHAH ALAM, 3 NOV: Sebanyak 106 kompaun dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor ke atas pencemar sungai negeri ini bermula Januari hingga September lalu.

EXCO alam sekitar berkata denda bernilai RM212,000 susulan insiden pencemaran sungai berulang kali menyebabkan henti tugas loji rawatan air mutakhir ini.

Hee Loy Sian berkata bagi tindakan mahkamah pula, sebanyak 91 pertuduhan dikemukakan dengan nilai kompaun RM915,000.

“JAS Selangor membuat pemeriksaan berkala terhadap industri yang menghasilkan efluen, menyiasat segera aduan dan melaksana operasi gempur setiap bulan di kawasan perindustrian hulu sungai,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Burong Dato’ Mohd Shamsudin Lias pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Loy Sian berkata bagi peringkat pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Selayang mengeluarkan nilai kompaun tertinggi sebanyak RM40,000.

Manakala jumlah kompaun paling banyak dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kajang iaitu 211.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang menyediakan draf pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menaikkan jumlah penalti dan nilai kompaun untuk menghukum pencemar sungai.

 

 


Pengarang :